Ini merupakan kemenangan pertama Sepanyol selepas diikat 3-3 oleh Portugal pada aksi pertama peringkat Kumpulan B sebelum ini, sekaligus berjaya mengelak daripada pulang awal dari Rusia.

Sepanyol hampir dikejutkan oleh Iran yang memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan termasuk gol penyamaan wakil dari Asia itu pada minit ke-60 yang dibatalkan oleh pengadil selepas Costa menjaringkan gol nasib pada minit ke-54.

Jika tidak, keputusan seri sudah pasti menyukarkan peluang Sepanyol untuk mara sebaliknya memberi kelebihan yang agak selesa kepada Iran yang terdahulu menang 1-0 ke atas Maghribi pada aksi pertama minggu lalu.

“Kami akhirnya dapat tiga mata. Tetapi ia satu perlawanan yang sukar dan kompleks. Walaupun bermula dengan rentak yang baik tetapi Iran adalah pasukan yang sukar untuk diatasi. Memang sukar untuk membolosi gawang mereka,” kata Hierro tentang corak bertahan yang diamalkan Iran.

Dengan kedua-dua pasukan masih berpeluang untuk mara ke pusingan kedua kalah mati, aksi terakhir peringkat kumpulan akan menjadi penentu pasukan mana yang mampu layak apabila Portugal bertemu Iran dan Sepanyol bertemu Maghribi, Isnin ini. – AFP