Zariman Muhammad, 34 dari Melaka dan Abd Rahman Bador, 50 dari Negeri Sembilan masing-masing memenangi sebuah motosikal Demak Skyline dan Demak DTM200 apabila penyertaan mereka memenangi cabutan bertuah sempena Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017.

Zariman berkata, dia tidak sangka surat khabar Utusan Malaysia yang disimpannya memberi pulangan yang lumayan.

"Syarat setiap penyertaan ialah menampilkan empat kepala akhbar Utusan Malaysia. Di rumah ada banyak surat khabar Utusan Malaysia yang saya beli.

"Daripada membazir saya fikir lebih baik menyertai pertandingan ini. Saya hantar 14 borang penyertaan. Alhamdullilah berhasil," kata Zariman yang masih tidak tahu sama ada mahu menyimpan atau menjual motosikal tersebut.

Sementara Abdul Rahman pula berkata, beliau menghantar lima borang penyertaan hasil keratan kepala akhbar Utusan Malaysia yang disimpan setiap hari.

"Saya memang berniat untuk membeli sebuah motosikal. Memang tak sangka menang motosikal ini," kata Abd. Rahman yang datang menonton Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017 di Quill City Mall, hari ini.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. - UTUSAN ONLINE