Menceritakan bibit-bibit pertemuan bersama isterinya Sonja Osborn dari Texas, Frankie berkata semuanya bermula dengan persembahan menimang bola sepak takraw di tengah-tengah bandar Kuching.

“Kita semua sedia maklum, jodoh, ajal, maut dan rezeki semuanya terletak di tangan tuhan. Saya memang tidak menyangka akan berkahwin hanya disebabkan sepak takraw malah dengan sukan ini juga saya mendapat pekerjaan.

“Saya penimang sepak takraw di kawasan saya di Sematan dan selalu membuat persembahan bersendirian di Kuching. Pada hujung Disember 2015, saya membuat persembahan seperti biasa dan pada waktu itu isteri saya ada melihatnya, dan selepas satu jam pusing-pusing bandar Kuching dia melihat bola yang saya timang masih tidak jatuh.

“Dari situlah bermulanya detik perkenalan kami di mana selepas itu kami berhubung melalui media sosial dan saya memintanya datang ke kampung halaman saya untuk berjumpa. Syukur kepada tuhan saya dan isteri saya dapat mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

“Saya juga ada mengajar isteri saya cara-cara bermain sepak takraw dan dia juga meminati sukan ini, malah saya juga memperkenalkan sukan ini kepada keluarga dan rakan-rakan isteri saya, dan secara tidak langsung sukan itu dapat dipromosikan,” katanya, yang berada di sini untuk menyertai Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017, namun pasukannya Kelab Sepak Takraw Salak (KSS) dari Sepang, Selangor tersingkir di peringkat awal.

Sonja, yang merupakan guru bahasa Inggeris dalam talian, berkata dia tidak menyangka akan bertemu jodoh ketika melawat Bumi Kenyalang seorang diri, malah keluarganya turut gembira bagi pihaknya.

“Suami saya sangat baik, peramah, positif dan sentiasa membuatkan saya selesa bersamanya. Saya berasa amat bahagia apabila kami dapat menimang bola sepak takraw bersama-sama. Pada mulanya tujuan saya ke Sarawak kerana mahu melawat Taman Negara Bako, tidak sangka saya bertemu jodoh di sini,” katanya.

“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan suami adalah saya tidak pernah bertemu dengan lelaki sepertinya, itu membuatkan saya mahu mengenalinya dengan lebih rapat dan berjumpa keluarganya.

“Selepas mengenali suami, semua ahli keluarga dan rakan-rakan saya mengenali sepak takraw kerana saya mempromosikan sukan itu kepada mereka,” katanya.