Dalam aksi di Bandar Sukan Jakabaring, Palembang itu, regu negara dipaksa berhempas pulas, malah seketika ketinggalan 12-17 di set pertama.

Tindakan pantas ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad mengeluarkan tekong utama, Muhammad Syahir Mohd. Rosdi dan menggantikannya dengan Muhammad Zulkifli Abd. Razak nyata membuahkan hasil apabila Malaysia bangkit mencatat kemenangan 23-21.

Set kedua pula menyaksikan regu negara yang diketuai Farhan Adam mula mendapat rentak dan tidak menoleh ke kebelakang lagi untuk menamatkan permainan 21-15.

Itu adalah kemenangan ketiga berturut-turut dicatat regu negara dalam Kumpulan B, sekali gus membolehkan mereka menempah tiket separuh akhir lebih awal biarpun masih berbaki satu perlawanan itu menentang China esok.

Sementara itu, Abdul Talif berkata, beliau melakukan perubahan taktikal pada saat akhir selepas melihat Korea Selatan lebih banyak mengamalkan corak permainan bertahan.

“Selepas melihat cara permainan Korea Selatan yang lebih banyak bertahan, saya mengeluarkan Muhammad Syahir dan memasukkan Muhammad Zulkifli atas sebab taktikal.

“Muhammad Syahir merupakan seorang tekong yang menyerang dan apabila tidak mampu memberikan mata untuk negara, dia mula berasa sedikit tertekan,” katanya, yang terdahulu membimbing Malaysia menewaskan India 2-0 pada aksi sebelah pagi.

Selepas tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir berpasukan, acara antara regu menjadi sandaran terakhir skuad sepak takraw Malaysia untuk membawa pulang pingat emas yang disasarkan dalam temasya kali ini. – BERNAMA