Syed Saddiq berkata, selain itu juga kementeriannya telah mengadakan perbincangan de­ngan pihak polis negara berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan atlet yang mengambil bahagian dalam temasya dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

“Sebelum ini saya ke Indonesia melakukan tinjauan di Palembang dan Jakarta, saya sempat berjumpa Presiden Indonesia Joko Widodo dan mente­rinya berbincang isu keselamatan (sempena Sukan Asia).

“Mereka berjanji untuk memastikan keselamatan atlet kita terjamin. Beberapa perkara perlu diperhalusi, antaranya saya dimaklumkan pihak PDRM akan pergi lebih awal ke Indonesia bagi mendapatkan taklimat lanjutan,” katanya ketika ditemui pada kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di kawasan Rehat dan Rawat Seri Kembangan di sini, hari ini.

Turut menyertai kayuhan tersebut adalah Raja Muda Se­langor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris.

Jaminan keselamatan dianggap penting memandangkan beberapa insiden membabitkan pasukan Malaysia di negara itu dengan yang terbaru pada 12 Julai apabila pemain skuad bola sepak bawah 19 tahun dilontar botol dan batu semasa kejohanan AFF di Stadium Delta Sidorajo.

Sementara itu, mengenai kekecohan dalam aksi persahabatan skuad bawah 23 tahun Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE FA), Jumaat lalu, Syed Saddiq berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita akan bertegas, ia tidak sepatutnya berlaku. Pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan pastikan isu ini diselesaikan dengan baik,” jelasnya.

Insiden pergaduhan itu berlaku pada waktu kecederaan selepas pemain UAE, Mohammed Khalfan Al-Harazi mengasari pemain negara dan ia mencetuskan tindak balas.

Pasukan UAE mengambil tindakan menggugurkan Mohammed Khalfan daripada senarai pemain negara itu pada Sukan Asia.

Tindakan itu diambil selepas persatuan tersebut meneliti laporan awal yang mendapati Mohammed Khalfan menjadi punca insiden tersebut.

Dalam satu kenyataan di laman webnya semalam, Persatuan Bola Sepak UAE turut memohon maaf kepada FAM berhubung insiden itu yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan pasukan mereka. – BERNAMA