Ketua kontinjen Indonesia, Dr Bayu Rahadian berkata selepas membuat tinjauan hampir kesemua venue, beliau jelas berpuas hati terhadap segala akses kemudahan yang disediakan memenuhi keperluan atlet.

Beliau yang tiba di Kuala Lumpur bersama sebahagian besar kontinjen Indonesia pada Rabu lepas berkata, Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) banyak memainkan peranan dalam membantu kontinjennya menyesuaikan diri ketika di venue, hotel penginapan selain turut membantu dalam urusan pengangkutan atlet.

“Persediaan yang dilakukan Malaysia adalah luar biasa kerana sampai ke saat ini kami tidak menghadapi apa-apa kesulitan yang khusus. Masoc juga pantas memberikan respons jika terdapat sebarang permintaan dan keluhan yang disuarakan para atlet dan pegawai.

“Hampir kesemua venue pertandingan bermula dari Veledrom Nasional di Nilai sehingga ke Stadium Nasional Bukit Jalil saya sudah lihat dan semua kemudahan yang disediakan sangat memuaskan.

“Namun begitu, kami ada menghadapi sedikit kesukaran akibat ruang makan yang sempit di hotel, tetapi ia telah ditangani dengan baik dan pantas oleh Masoc dan sekarang ia berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Upacara Menaikkan Bendera Kontinjen Para ASEAN di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sementara itu, atlet catur negara Aqilah Shahira Ahmad menyifatkan segala bentuk kemudahan yang disediakan di venue dan hotel oleh Masoc yang mencapai standard kemudahan OKU, membakar semangatnya untuk berjuang memburu pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

“Ia sangat baik dan memang mengikut standard kemudahan OKU, semuanya seperti apa yang saya bayangkan dan ia setanding dengan penganjuran sukan untuk golongan istimewa di luar negara. Tiada apa yang perlu saya khuatirkan kerana semua telah diatur dengan baik dan ini akan membantu saya dalam pemburuan emas untuk negara,” katanya.

Dalam pada itu, selain daripada kemudahan yang mesra OKU, atlet angkat berat Vietnam Nguyen Van Phuc turut memuji sikap terpuji yang dipamerkan oleh sukarelawan.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan oleh Malaysia sebagai tuan rumah temasya Sukan Para ASEAN. Mereka mempunyai perancangan yang baik meliputi semua seperti venue, hotel dan segala-galanya. Sukarelawan juga sangat membantu dan peramah,” tambah beliau lagi. - BERNAMA