Atlet kelahiran Sarawak ber­usia 23 tahun itu berkata, dia menyasarkan untuk menamatkan pengajian dan menggenggam ijazah pada 2018 iaitu dua tahun sebelum meneruskan pemburuan pingat Olimpik di Tokyo 2020.

Penuntut Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Sains Sukan itu berkata, keputusan tersebut dibuat bukan atas dasar masalah kecederaan yang sering membelenggu dirinya, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu digalas.

“Saya baru habis peperiksaan dan esok saya akan berjumpa dengan pensyarah untuk membincangkan masa depan pengajian saya di UM.

“Dalam tempoh (rehat) 10 hari ini juga saya akan pulang ke kampung (di Kuching, Sarawak) untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali memulakan latihan.

“Selepas memberikan fokus 100 peratus terhadap Olimpik, saya rasa kini tiba masanya untuk memberikan semula tum­puan terhadap pelajaran.

“Bukan masalah kecederaan (yang menyebabkan saya mahu kembali fokus kepada pelajaran), sebaliknya ini merupakan janji saya terhadap keluarga saya, yang mana saya tidak akan mengetepikan pelajaran.

“Saya sasarkan untuk tamatkan pengajian saya pada tahun 2018,” kata atlet Bidayuh itu ketika ditemui dalam majlis penye­rahan ganjaran daripada syarikat telekomunikasi, XOX Mobile kepada lapan pemenang pingat di Olimpik Rio, di sini hari ini.

Pandelela, 23, dan Cheong Jun Hoong, 26, yang memenangi pingat perak menerusi acara 10 meter platform seirama wanita menerima habuan RM30,000 seorang.

Sementara itu, Jun Hoong berkata, dia enggan berada da­lam zon selesa meskipun memperoleh pencapaian memberangsangkan dalam Olimpik Rio dan bakal memulakan se­mula latihan pada 5 September ini.

“Olimpik sudah habis, jadi saya perlu memulakan semula. Sebab setiap pertandingan mesti ada pencabar baharu yang kita tidak kenal atau tahu pencapaiannya,” kata penuntut jurusan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.