Bagaimanapun tumpuan hari temasya pastinya terarah kepada ibu segala emas, bola sepak, yang berjaya dipertahankan oleh Perak selepas mengalahkan Wilayah Persekutuan (WP) 2-0.

Terdahulu empat pingat emas yang diraih gimnastik artistik sudah memadai buat Selangor menggondol 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa yang menjadikan pungutan keseluruhan 195 pingat.

Renang menjadi penyumbang terbesar Selangor dengan 20 emas yang juga menjadi titik penentu kepada negeri itu memintas dua pencabar terdekat iaitu Sarawak dan WP.

Prestasi konsisten skuad me­nembak Selangor yang menjelmakan enam emas dan gimnastik artistik dengan lima pingat emas, turut mengukuhkan kedudukan mereka di persada senarai pungutan pingat.

Pada hari terakhir, hari ini, tenis menerusi beregu lelaki dan sukan pelayaran dalam acara International Event 420 turut menyumbang satu pingat emas yang sekali gus menjarakkan kedudukan berkelebihan dua emas daripada kontinjen tuan rumah.

Sarawak yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua boleh berbangga dengan pungutan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa. Kontinjen Bumi Kenyalang itu membuktikan keunggulan mereka dalam sukan tenpin boling, taekwando, wusyu, silat, renang dan olahraga.

Boling muncul penyum­bang pingat emas terbesar buat ne­geri itu setelah menyapu 11 emas dalam sukan tersebut, sementara taekwando merangkul lapan emas keseluruhan.

Dalam pada itu, Terengganu ber­jaya memintas juara Sukma Perlis, dua tahun lalu WP pada hari terakhir temasya yang sekali gus menyaksikan kontinjen dari pantai timur tanah air tersebut mengumpul 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Terengganu sememangnya ti­dak asing dalam sukan berbasikal apabila mereka membolot 14 emas keseluruhan yang turut menyaksikan penguasaan penuh negeri itu berbanding pencabar mereka dari Johor dan Selangor.

Memanah, menembak dan pelayaran turut membantu Terengganu memperbaiki kedudukan dalam kelompok tiga terbaik setelah sukan-sukan itu menyumbang 13 emas kesemuanya.

Kontinjen WP jatuh satu anak tangga untuk menghuni kedudukan keempat pada hari terakhir setelah mengumpul 40 emas, 44 perak dan 41 gangsa.