Atlet berusia 35 tahun dari Pulau Pinang yang menduduki ranking No. 1 dunia selama sembilan tahun itu berkata, dia sudah lama memikirkan untuk bersara dan musim ini bakal menjadi penampilan terakhirnya.

“Saya telah berjuang jiwa dan raga untuk kekal berada di puncak perlawanan sekian lama...saya berasakan saya hanya ada musim terakhir ini untuk beraksi sebaik mungkin sebelum memasuki fasa kehidupan yang seterusnya.

“Bersaing dalam jelajah dan berada pada venue yang menakjubkan di seluruh dunia adalah perkara pertama yang saya akan rindukan. Bagaimanapun, saya akan memanfaatkannya sebaik mungkin selama beberapa bulan ini.

“Sejujurnya selama berada di kedudukan No. 1 dunia selama sembilan tahun berturut-turut adalah pencapaian paling menonjol buat diri saya. Saya tidak pernah memahami sepenuhnya sehinggalah saya tidak berada di situ lagi. Saya sangat bangga dengan pencapaian ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman sesawang PSA, www.psaworldtour.com.

Juara Dunia lapan kali itu yang bermain skuasy seawal usia 5 tahun, telah merangkul tiga pingat emas Sukan Dunia, lima emas Sukan Asia, dua pingat emas Sukan Komanwel dan dua gelaran Terbuka Britain sepanjang 20 tahun mewakili Malaysia.

Nicol yang menjadi pemain profesional pada 2000, merupakan juara remaja dunia termuda apabila memenangi Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium pada usia 15 tahun.

Walaupun bersara sebagai atlet, Nicol berjanji akan menyumbang kembali kepada sukan skuasy menerusi tiga cara.

“Saya cintakan skuasy sepenuh hati saya, dan ia sentiasa memainkan peranan penting dalam hidup kerana itulah sebabnya saya akan memberi sumbangan dalam tiga cara. Saya akan bekerja rapat dengan PSA untuk meningkatkan kesedaran terhadap sukan ini di peringkat global dan membina pasukan sokongan untuk atlet skuasy profesional kita.

“Membantu generasi muda Malaysia menerusi Yayasan Nicol David yang bertujuan memperkasakan wanita melalui sukan untuk mencapai potensi diri mereka, dan kepada rakyat Malaysia saya akan berkongsi kisah saya ‘Nurturing Belief’ menerusi siri ceramah dan penulisan,” jelasnya.

Nicol turut berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Persatuan Raket Skuasy Pulau Pinang (SRAP) dan Akademi Skuasy Pulau Pinang terhadap sokongan yang diberi sepanjang kariernya.

“Terima kasih juga kepada jurulatih Liz Irving yang bersama saya selama 16 tahun,” katanya.