Walaupun terus unggul selaku juara keseluruhan, namun insiden yang berlaku terhadap atlet maraton dari Scotland, Callum Hawkins kira-kira dua kilometer dari garisan penamat menyebabkan pihak penganjur dikritik hebat.

Hawkins kelihatan akan meraih kemenangan selesa apabila tiba-tiba terhuyung-hayang dan kemudian terjelepuk di jalan. Pemeriksaan mendapati dia tumbang akibat suhu panas (heatstroke), namun kemudian disahkan tidak mengalami masalah lebih serius.

Walau bagaimanapun tindakan lambat memberi bantuan kepada pelari itu dikritik termasuk juara maraton terkemuka dunia dari Britain, Paula Radcliffe yang mengecam penganjur dan pegawai perubatan.

Sementara itu, Australia turut kecewa dalam dua acara kegemaran apabila skuad juara dunia kalah mengejut 52-51 kepada England menerusi perlawanan merebut pingat emas bola jaring sementara skuad ragbi tujuh sebelah wanita tuan rumah kalah 17-12 menerusi try terakhir New Zealand dalam perlawanan akhir.

Australia walau bagaimanapun masih unggul sebagai kuasa Sukan Komanwel sejak 2002 dan menjadi pemenang keseluruhan sebanyak 14 kali daripada 21 edisi temasya empat tahun sekali itu. Untuk edisi di Gold Coast, kontinjen negara Kanggaru itu memenangi 80 emas, 59 perak dan 59 gangsa.

England di tempat kedua dengan 45-45-46, diikuti India (26-20-20), Kanada (15-40-27) manakala New Zealand melengkapkan senarai lima pasukan teratas dengan 15-16-15.

Sementara itu, majlis penutupan di Stadium Carrara yang disempurnakan oleh Putera Edward selaku penaung Sukan Komanwel berlangsung hambar apabila siaran langsung di televisyen tidak menunjukkan atlet meraikan kejayaan di padang sementara hampir separuh tempat duduk penonton tidak diduduki.

Sementara itu acara kemuncak adalah penyerahan bendera Sukan Komanwel kepada Datuk Bandar Birmingham, Anne Underwood yang mewakili tuan rumah temasya 2022 oleh Datuk Datuk Bandar Gold Coast, Tom Tate.

Dengan upacara itu, kini tinggal empat tahun, tiga bulan dan 12 hari sebelum temasya 2022 berlangsung di Birmingham, England.

Sukan Komanwel 2018 juga ditamatkan dengan kemungkinan menjadi temasya terakhir yang menggunakan proses membida untuk memilih tuan rumah apabila Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) kini mempertimbangkan memberi hak penganjuran tempatan secara ‘anugerah’ menerusi kriteria tertentu bagi mengelakkan peningkatan kos.

Birmingham menjadi tuan rumah setelah menawarkan diri menggantikan bandar raya Durban di Afrika Selatan yang menarik diri.

Sementara itu, kontinjen Malaysia menyertai acara penutupan dengan berpakaian tracksuit yang tetap menggunakan motif harimau belang diberi nama Malaysian Heroes rekaan pereka terkenal Melinda Looi.