Ing Biao mencatatkan 55.94 meter untuk mengatasi atlet Singapura, Jonathan Low dan Bandit Singhatongkul (Thailand) yang masing-masing hanya terdaya melakukan lemparan sejauh 54.70 dan 53.76 meter.

Ilham pula mencatat 47.41 saat untuk menguasai perlumbaan 400 meter lelaki sambil menumpaskan Tran Nhat Hoang dari Vietnam, 48.16 saat dan Dewa Radika Sya, 48.74 saat.

Ilham yang kemudian bergandingan dengan Rusleem Zikri Putra Rosli, Muhammad Azem Fahmi dan Aiedel Sa'don, menundukkan kuartet 4x100 meter Indonesia dan Thailand dengan kepantasan 41.07 saat manakala kedua-dua lawan, 41.20 dan 41.28 saat.

Agak malang buat Malaysia apabila foto penamat menafikan emas berganda 4x100 meter sekali gus kuartet wanitanya hanya mampu berpuas hati dengan perak sekalipun berkongsi catatan 47.59 saat dengan Thailand manakala Filipina, 48.06 saat.

Semalam pelari 400 meter berpagar, Rusleem Zikry Putra menyelamatkan maruah tuan rumah yang sekadar beroleh sebutir emas hari pertama olahraga sekali gus secara keseluruhannya mengumpul empat emas, kurang satu dengan Indonesia.

Aiedel berkata, larian rakan-rakannya terutama yang paling muda, Azem, 14 tahun, telah membuatkan dia bersemangat untuk meraih kemenangan sekali gua menebus luka dan kehampaan dalam 100 meter semalam.

"Mulanya bimbang dan gugup juga takut kalau-kalau berlaku kesilapan macam semalam tetapi selalu saya tanamkan tekad bahawa menang atau kalah dalam apa juga perlumbaan tetap merupakan satu pelajaran bagi saya.

"Saya harap selepas ini saya dapat menempatkan diri dalam skuad olahraga Melaka ke Sukan Malaysia di Perak, September ini," kata pelajar berusia 17 tahun di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Johor itu.

Sementara itu, hasrat Malaysia mencipta kejutan dalam sepak takraw di Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam berkecai apabila ditewaskan musuh tradisi Thailand 12-21, 11-21 pada perlawanan akhir acara antara regu. - UTUSAN ONLINE