Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertahankan pendirian tidak bersetuju dengan keputusan itu, berharap kerajaan negeri turut melakukan perbincangan bersama atlet.

"Tiada masalah kalau hendak menggalakkan tetapi dalam bab sukan khususnya beberapa jenis sukan seperti gimrama, terjunan dan berenang, ini merupakan sukan yang ada citarasanya sendiri.

"Apabila isu itu keluar, kebanyakan atlet dan ibu bapa menghubungi kementerian mengekspresikan pandangan mereka dan saya terpaksa membela kerana itu adalah tanggungjawab Menteri Belia dan Sukan untuk menjaga kebajikan atlet dalam semua kategori," katanya pada majlis perasmian Cruyff Court Felda Lurah Bilut di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dilaporkan berkata, mulai tahun depan para pemain bola sepak yang mewakili negeri dalam pelbagai pasukan akan mengenakan pakaian menutup aurat selaras dengan pelaksanaan pematuhan syariah dalam berpakaian.

Katanya, pengenaan pakaian sukan patuh syariah itu hanya digalakkan kepada pemain bola sepak beragama Islam manakala tiada paksaan kepada mereka yang bukan Islam.
- UTUSAN ONLINE