Ketika ini pencabar utama Malaysia untuk mendominasi temasya kali ke-29 itu adalah Thailand yang sudah meletakkan sasaran meraih minimum 100 pingat emas. Malaysia juga harus berwaspada dengan ancaman Indonesia walaupun negara itu memberitahu tidak meletakkan sebarang sasaran di Kuala Lumpur kerana mahu fokus kepada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang.

Berdasarkan penilaian ke atas lima Sukan SEA dari 2007 hingga 2015 dapat dilihat bahawa 11 jenis sukan berupaya menjadi pe­nyumbang utama pingat emas Malaysia dalam temasya di Kuala Lumpur pada Ogos ini bagi merealisasikan misi muncul sebagai juara keseluruhan.

Maksud penyumbang utama adalah keupayaan menghadiahkan 50 peratus hingga 100 peratus pingat emas dalam acara yang dipertandingkan. Sebagai contoh hoki mempertandingkan empat acara dan berdasarkan ranking antarabangsa maka tidak mustahil empat pingat emas dapat diraih oleh skuad negara.

Sukan lain yang mempunyai keupayaan menjadi penyumbang utama pingat emas untuk negara ialah terjun, karate, wusyu, pencak silat, tenpin boling, gimnastik, skuasy, pelayaran, basikal trek, hoki dan boling padang tetapi peranan sukan-sukan lain tidak boleh dipandang remeh kerana ada beberapa acara yang menyaksikan atlet negara melakar kejutan.

Secara kasarnya untuk muncul sebagai juara keseluruhan di tempat sendiri Malaysia harus me­ngumpul lebih daripada 100 pingat emas selain berharap beberapa sukan sandaran utama kekal berada di landasan terbaik.

Jumlah acara yang dipertan­dingkan melibatkan 11 sukan itu juga amat besar malah berdasarkan rekod kesemua sukan ber­kenaan jarang menghampakan sejak Sukan SEA 2007 hingga 2015.

Dalam Sukan SEA kali ini, pencak silat dan gimnastik mempertandingkan pingat terbanyak apabila menawarkan 20 emas, wusyu 17, karate 16 serta pelayaran 14.

Terjun dan basikal trek pula menawarkan jumlah acara yang sama iaitu 13, tenpin boling 11, skuasy sembilan, boling padang lapan dan hoki empat.

Sukan terjun sering menjadi penyumbang utama kontinjen Malaysia dan pencapaian terbaik dalam lima Sukan SEA terakhir adalah meraih lapan pingat emas iaitu pada 2015 di Singapura dan 2013 di Myanmar.

Sukan subjektif melibatkan seni mempertahankan diri serta tempur seperti pencak silat, karate dan wusyu sudah membuktikan kemampuan bukan sahaja di peringkat Asia Tenggara malah sering menjadi penyumbang kedua terbanyak buat kontinjen Malaysia selepas terjun dalam temasya besar seperti Sukan Asia.

Sementara skuasy, basikal trek, hoki, gimnastik, tenpin bo­ling, pelayaran dan boling padang adalah sukan yang didominasi oleh Malaysia di peringkat Asia Tenggara kerana mempunyai atlet terbaik dunia serta menghuni kedudukan ranking membanggakan di peringkat Asia.

Sekiranya 11 sukan yang menjadi kekuatan Malaysia itu mampu menyumbang sekurang-kurangnya 50 peratus pingat emas daripada acara dipertan­dingkan maka kontinjen Malaysia sudah berada di landasan terbaik bagi muncul sebagai juara keseluruhan.

Info grafik

Rekod Pencapaian Acara dalam Sukan SEA

Sukan SEA 2015

Terjun - 8 pingat emas

Basikal trek - Tidak dipertandingkan

Tenpin Boling - 5 pingat emas

Gimrama - 5 pingat emas

Hoki - 2 pingat emas

Karate - Tidak dipertandingkan

Boling padang - Tidak dipertandingkan

Pencak Silat - 3 pingat emas

Pelayaran - 7 pingat emas

Skuasy - 4 pingat emas

Wushu - 2 pingat emas

Sukan SEA 2013

Terjun - 8 pingat emas

Basikal trek - Tidak dipertandingkan

Tenpin Boling - Tidak dipertandingkan

Gimrama - Tidak dipertandingkan

Hoki - 2 pingat emas

Karate - 7 pingat emas

Boling padang - Tidak dipertandingkan

Pencak Silat - 2 pingat emas

Pelayaran - 2 pingat emas

Skuasy - Tidak dipertandingkan

Wushu - 3 pingat emas

Sukan SEA 2011

Terjun - 7 pingat emas

Basikal trek - 7 pingat emas

Tenpin Boling - 5 pingat emas

Gimrama - 2 pingat perak

Hoki - Tidak dipertandingkan

Karate - 4 pingat emas

Boling padang - Tidak dipertandingkan

Pencak Silat - 3 pingat emas

Pelayaran - 1 pingat perak

Skuasy - Tidak dipertandingkan

Wushu - 3 pingat emas

Sukan SEA 2009

Terjun - 6 pingat emas

Basikal trek - Tidak dipertandingkan

Tenpin Boling - Tidak dipertandingkan

Gimrama - Tidak dipertandingkan

Hoki - Tidak dipertandingkan

Karate - 5 pingat emas

Boling padang - Tidak dipertandingkan

Pencak Silat - 4 pingat emas

Pelayaran - Tidak dipertandingkan

Skuasy - Tidak dipertandingkan

Wushu - 3 pingat emas

Sukan SEA 2007

Terjun - 7 pingat emas

Basikal trek - 4 pingat emas

Tenpin Boling - 4 pingat emas

Gimrama - 6 pingat emas

Hoki - 2 pingat emas

Karate - 8 pingat emas

Boling padang - 4 pingat emas

Pencak Silat - Tidak dipertandingkan

Pelayaran - 2 pingat emas

Skuasy - 1 pingat emas

Wushu - 2 pingat emas

habis.//