Kata Sazali, dirinya tidak langsung memikirkan untuk bersara kerana sukan bina badan sudah serasi dalam jiwanya yang telah meraih kejuaraan Mr. Universe sebanyak 10 kali itu.

“Ya saya tak bersara.

“Buat masa sekarang saya mahu berehat tetapi akan meneruskan latihan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM), pada minggu lalu, telah mengumumkan bahawa Sazali digantung selama empat tahun bermula 22 September 2015 setelah ujian doping atlet tersebut di­sahkan positif mengandungi bahan terlarang dan sepanjang tempoh hukuman itu dia tidak dibenarkan terlibat dengan apa jua aktiviti berkaitan bina badan.

Sazali, 48, didapati positif menggunakan bahan terlarang selepas mengambil makanan tambahan yang diperkenalkan oleh rakannya menerusi pasaran terbuka tanpa mengetahui produk berkenaan mengandungi steroid Kelas S1 dan dia mengakui semuanya berlaku atas kecuaiannya sendiri.

Ketika ditanya apa perancangannya selain menjalani latihan seperti biasa, Sazali berkata: “Belum fikir lagi. Apa-apa pun kita sambut tahun baru dahulu dan semoga 2016 lebih baik untuk kita semua.”