Kedua-dua atlet tersebut, yang menggondol anugerah sama pada 2013, mempamerkan prestasi konsisten sepanjang tahun lalu untuk menerima trofi, blazer dan wang tunai RM20,000 daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Sazali, yang merangkul kejuara­an Mr. Universe buat kali ke-10 dalam Kejohanan Dunia di Mumbai, Disember lalu, pernah memenangi a itu pada 2000, 2006 dan 2013.

Sementara Nicol terus me­lebarkan rekod kejayaannya selaku Olahragawati Kebangsaan terba­nyak setelah memenangi anugerah tersebut buat kali ke-10.

Gelaran Terbuka Dunia di Kaherah, dua emas Sukan Asia di Incheon dan sebutir emas Sukan Komanwel di Glasgow sudah cukup untuk melayakkan pemain skuasy No. 1 dunia itu dinobatkan sebagai pemenang untuk tahun 2014.

Sazali, yang sudahpun berusia 47 tahun, melahirkan rasa terharunya dan gembira kerana sekali lagi menerima pengiktirafan itu ekoran kejayaannya merangkul kejuaraan Mr. Universe pada tahun lepas.

“Saya berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah banyak membantu serta menyokong karier saya selama ini. Tanpa usaha dan komitmen tinggi, saya tidak mungkin dapat memenangi anugerah ini,” kata anggota polis itu kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Bapa Nicol, Desmond David menerima trofi Olahragawati bagi pihak pemain itu yang tidak dapat hadir kerana sedang bersedia untuk menyertai Kejuaraan Skuasy Individu Asia di Kuwait bermula 1 Mei ini.

Nicol bagaimanapun memberikan ucapan menerusi rakaman video, dan berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Sukan Negara kerana mengiktirafnya selaku Olahragawati Kebangsaan.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang tidak berbelah bahagi memberikan sokongan kepada saya selama ini, saya akan terus berusaha lagi pada tahun ini untuk memberikan yang lebih baik demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.