Olahragawan Kebangsaan empat kali itu berkata, rayuan kedua tersebut diharap akan dapat mengurangkan hukuman­nya kepada dua tahun setelah dia melengkapkan pengantungan selama setahun, setakat ini.

“Saya harap berhasil, pa­ling tidakpun dua tahun, sebab saya pun dah setahun menjalani penggantungan. Walaupun di dalam penggantungan, saya tetap berusaha menyalurkan idea-idea yang bagus, dan latihan tetap diteruskan seperti biasa.

“Semangat saya sentiasa ada bagi memartabatkan sukan yang amat saya minati ini. Saya memang masih bersemangat, walaupun usia semakin mening­kat. Saya masih menjaga badan saya, mengekalkan fizikal selagi saya berkemampuan dengan tenaga yang ada saya akan teruskan,” katanya.

Sazali ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Akademi Sazali Samad yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Kumpulan Ikhasas - Shaftsbury Square Cyberjaya/Putrajaya, Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sekiranya rayuan berjaya, Sazali yang bersara daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga hari lalu memberitahu, dia bercadang untuk menyertai pertandingan bina badan Arnold Amature Classic yang pernah disertainya pada 2008.

Sementara itu, peguam yang mewakili Sazali, Mohd. Norasmawi Norani berpendapat tiada lagi alasan untuk Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) menolak rayuan kali ini.

Ini selepas mengambil contoh hukuman lebih ringan dikenakan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terhadap dua atletnya yang hanya digantung dua tahun biarpun melakukan kesalahan sama.

“Saya fikir peluang kali ini lebih cerah kerana mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk PBBM sendiri selain kes terbaharu membabitkan dua atlet angkat berat. Mereka dikenakan penggantungan dua tahun tanpa membuat rayuan pun.

“Jadi, mengapa tidak untuk Sazali yang baru kali pertama dan tidak pernah lari bila kes doping ini berlaku. Kes ini juga berlaku di luar kejohanan, jadi tidak adil untuk Sazali dikenakan maksimum empat tahun. Kita akan buat rayuan untuk penggantungan dikurangkan kepada dua tahun,” katanya.