Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) pada 21 Disember lalu menjatuhkan hukuman gantung empat tahun ke atas atlet dari Batu Pahat, Johor itu selepas mendapati dia bersalah menggunakan bahan perangsang prestasi.

Sazali didapati mengambil bahan itu, yang tidak dinyatakan jenisnya, dalam ujian doping yang dijalankan oleh Agensi Ujian Antidoping Malaysia (Adamas) sebelum dia menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September hingga 5 Oktober lalu.

Usaha rayuan Olahragawan Kebangsaan empat kali itu terhadap hukuman yang berkuat kuasa pada 22 September lalu, dilakukan dua hari sebelum tarikh akhir untuknya berbuat demikian.

Pengurus yang juga isteri Sazali, Hashrine Hashim berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media selepas surat rayuan berkenaan diserahkan.

“Kenyataan media akan dibuat selepas penyerahan rayuan rasmi itu namun bergantung kepada keadaan.

“Sebarang soalan berhubung isu ini boleh dikemukakan kepada peguam Sazali yang turut akan hadir atau PBBM,” katanya menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia semalam.

Ditanya surat rayuan itu akan disampaikan kepada siapa, katanya: “Saya pun tidak pasti (tetapi) biasanya Kamaruzaman Kadir (Setiausaha Kehormat PBBM).”

Hashrine turut enggan me­ngulas sama ada rayuan itu merujuk kepada usaha untuk cuba meringankan hukuman atau mengetepikannya langsung. Dia juga enggan mengulas mengapa Sazali melakukannya dua hari sebelum tarikh akhir.

Jaguh berusia 48 tahun itu memenangi gelaran Mr. Universe dalam pertandingan di Melaka pada 2000, Moscow 2004, Ostrava (Republik Czech) 2006, Jeju (Korea Selatan) 2007, Dubai 2009, Varanasi (India) 2010, Me­laka 2011, Bangkok 2012, Budaors (Hungary) 2013 dan Mumbai (India) 2014.

Dia juga pernah memenangi Mr. Asia 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010, 2012 dan 2014 selain dianugerahkan Olahragawan Kebangsaan pada 2000, 2006, 2013 dan 2014 untuk berkongsi rekod pemenang terbanyak dengan dua jagoan badminton, Datuk Lee Chong Wei dan Rashid Sidek.