Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir berkata, Jawatankuasa Rayuan persekutuan hanya akan kembali bersidang untuk membincangkannya (kali pertama kira-kira dua atau tiga minggu lalu) selepas mendapat surat rayuan baharu menerusi majikannya.

“Kami hendak dia hantar balik surat rayuannya menerusi majikan, MSPDRM. Ada beberapa perkara yang kami hendak dia tengok dan kami perlukan. Bila dapat, barulah kami bersidang sekali lagi,” katanya, merujuk surat rayuan Sazali pada 8 Januari lalu.

Atlet bina badan berusia 49 tahun itu digantung empat tahun oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) yang berkuat kuasa 22 September lalu selepas didapati positif dalam ujian doping di luar pertandingan pada 1 September, sebelum menyertai Kejohanan Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan.

Sementara itu, Kamaruzaman menyangkal andaian bahawa bina badan tidak disenaraikan dalam 34 jenis acara untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 seperti yang diumumkan Majlis Olimpik Malaysia kelmarin, kerana ketiadaan dan penggantungan Sazali itu.

“Itu anda kena tanya Jawatankuasa Teknikal Penganjur Sukan SEA (namun) kalau tanpa Sazali pun, kami telah sasarkan dua pingat emas ketika membida bina badan ke Sukan SEA 2017 menerusi atlet lain antaranya seperti Buda Anchah dan beberapa lagi yang berada di ranking kedua Asia malah keempat dan kelima dunia.