Olahragawan Kebangsaan empat kali ini turut menyifatkan keputusan jawatankuasa pada 26 Mac lalu yang hanya diumumkan kepada media kelmarin, sebagai tidak adil kerana dikendalikan dan dijatuhkan tanpa mematuhi beberapa peraturan tertentu menurut Artikel 13.2.2 Kod Agensi Antidoping Dunia (WADA) 2015.

“Saya tidak menerima, sekali gus menolak keputusan jawatankuasa itu dan akan mencabarnya di CAS (di Switzerland atau Australia) kerana mereka tidak mengikut peraturan-peraturan dalam kod itu. Saya mempersoalkan profesionalisme PBBM dalam mengendalikan rayuan ini secara adil dan saksama.

“PBBM malah terus ghairah dalam menjatuhkan hukuman terhadap saya dengan tidak pernah memanggil saya untuk menghadiri pendengaran kes, tidak memaklumkan mengenai ahli-ahli jawatankuasa itu dan tidak memberikan saya ruang dan peluang memberikan hujah dan alasan (membela diri) yang semuanya membelakangi Kod WADA.

“Keputusan dan pengumuman hukuman juga tidak mengandungi alasan-alasan juga secara bertulis berhubung penolakan rayuan saya. PBBM tidak profesional dalam mengendalikan proses daripada Jawatankuasa Disiplin (21 Disember lalu) sehingga Rayuan,” katanya pada sidang akhbar di sebuah gimnasium di Taman Sutera Damansara, semalam.

Sazali, 49, yang turut ditemani isterinya, Hashrine Hashim dan peguamnya, Mohd. Norasmawi Norani, meluahkan kekecewaan dengan keputusan itu yang dianggapnya percubaan untuk menutup periuk nasi dan menjatuhkan kariernya sedangkan pihaknya sebelum ini bertindak positif dan berharap perubahan dapat dilakukan dalam proses rayuan itu.

“Harapan itu meleset sama sekali kerana saya kalau hukuman itu dapat dikurangkan kepada satu atau dua tahun pun, alhamdulillah. Segala apa sumbangan, jasa dan pengorbanan saya selama 25 tahun penglibatan dalam sukan bina badan ini, hilang begitu sahaja tanpa diambil kira PBBM.

“Bagi saya, empat tahun digantung itu lama dan sukar (ditanggung) kerana selama ini saya membawa nama negara ke pelosok dunia dengan berkat sokongan rakyat Malaysia dan setiap kejayaan saya bermakna kejayaan rakyat Malaysia juga,” tegas pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sub inspektor sokongan ini.

Kata Mohd. Norasmawi, mereka akan cuba mendapatkan sokongan pihak lain yang berminat membantu dalam masa terdekat ini apabila mengetengahkan kes itu ke CAS memandangkan kosnya bakal mencecah puluhan ribu RM.

“Kami kena bincang bagaimana hendak hadapinya sebab kami pun tidak sangka dapat keputusan macam ini. Rayuan masih ada dan tidak akan habis di sini. Kami akan rujuk kes-kes lain yang ada di CAS namun bagi saya, seorang atlet kebangsaan seperti Sazali tidak patut dilayan sebegini.

“Walaupun sudah hantar rayuan, macam ada kepincangan di PBBM. Apabila saya bangkitkan kepada media (keputusan rayuan sejak dikemukakan 8 Januari lalu), pukul 3 petang (kelmarin) sudah ada keputusan yang hanya menyebut hukuman dikekalkan, mudah sahaja,” katanya.

PBBM menggantung Sazali daripada sebarang kegiatan bina badan sehingga 22 September 2019 berdasarkan keputusan ujian doping Agensi Ujian Antidoping Malaysia (Adamas) yang positif terhadap Sazali sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia 2015 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September hingga 5 Oktober lalu.