Beliau yakin ramai pakar sukan tempatan memiliki kelayakan untuk meme­gang jawatan tersebut sekalipun berdepan cabaran getir bagi menjelmakan pingat emas sulung negara pada Sukan Olimpik.

“Saya suka kalau ada orang tempatan sebab dalam bidang ini banyak (warga tempatan) yang berkebolehan dan berkelayakan, tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya rasa kriteria yang paling mustahak adalah kelayakan seseorang itu.

“Jadi, kita akan buat sistem pemilihan yang terbaik untuk kita dapatkan (hasil) terbaik antara terbaik.

“Ini kerana individu ini memikul beban yang teramat tinggi untuk memastikan Malaysia memperoleh pingat emas pertama Olimpik,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran ‘Masters of Dirt’ di sini hari ini.

Semalam, Newenham mele­takkan jawatan selaku Pengarah Program Podium ekoran kegagalan program itu mencapai sasaran dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun ini yang menyebabkan beliau dikritik terma­suk oleh Syed Saddiq.

Pakar perancangan sukan dari Australia itu mengesahkan dia telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Syed Saddiq semalam.

Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menyaksikan kontinjen negara sekali lagi gagal menempatkan diri dalam kalangan 10 peserta terbaik apabila hanya membawa pulang tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa untuk menduduki tempat ke-14 ke­seluruhan.

Kegagalan itu menyamai pencapaian serupa dalam Sukan Komanwel di Gold Coast April lalu, apabila kontinjen negara menamatkan kempen dengan menduduki tempat ke-12, dua anak tangga daripada sasaran setelah sekadar memenangi tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa.

Program Podium yang sudah berbelanja sebanyak RM67 juta diletakkan sasaran untuk membantu Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik keseluruhan dalam kedua-dua temasya itu dan kemuncaknya memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik apabila temasya itu berlangsung di Tokyo pada 2020.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam program berasingan berkata, pe­ng­arah baharu Program Podium yang akan menggantikan Newenham mestilah individu yang memiliki kemampuan terbaik tetapi tidak semestinya merupakan bekas atlet negara.

Katanya lagi, terdapat banyak kriteria perlu dipenuhi calon yang bakal mengisi jawatan itu - satu daripadanya ialah memastikan matlamat untuk meraih pi­ngat emas sulung negara dalam Olimpik Tokyo 2020 tercapai.

Syed Saddiq yang melancarkan Kejohanan Badminton Remaja Astro Bawah 15, 2018 di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini berkata, beliau tidak akan tergesa-gesa dalam usaha mencari pengganti Newenham.

“Yang paling penting kemam­puannya (calon Pengarah Program Podium baharu), yang terbaik dan dipercayai (mampu membawa atlet negara) mencapai pingat emas Olimpik 2020.

“Tidak semestinya bekas atlet negara walaupun saya lihat kita ada kumpulan berbakat dan berpengalaman luas. Sama ada pengganti (Newenham) masih warga asing atau orang tempatan, kita akan buat perjumpaan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) terlebih dahulu.

“Pemilihannya akan dibuat secara telus (biarpun) mungkin ada segelintir pihak yang akan mempertikaikannya,” katanya.