Kelapan-lapan pesilat tersebut adalah Faizul Nasir dalam kelas putra B, Razak Ghazali (putra D), Al Jufferi Jamari (putra E), Fauzi Khalid (putra F), Robial Sobri (putra H), Khaizul Yaacob (putra J), Siti Shazwana Ajak (putri D) dan Siti Rahmah Nasir (putri E) setelah masing-masing menumpaskan lawan di separuh akhir.

Pengurus pasukannya, Datuk Osman Nok berkata, dia optimis skuad kebangsaan mampu melengkapkan sasaran itu biarpun hanya lapan daripada 16 slot terakhir berjaya diisi oleh Malaysia.

“Hari ini kita dah kumpul tiga emas, lagi lima masih diburu. Saya yakin esok kami akan lengkapkan sasaran lapan emas.

“Mereka akan berdepan empat pesilat Vietnam, dua Thailand, satu Singapura dan satu Indonesia. Saya yakin mereka semua akan memberikan tentangan hebat,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, saingan di venue baharu silat di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini menyaksikan skuad kebangsaan menambah emas ketiga apabila Afifi Nordin menghadiahkannya menerusi acara seni tunggal putra.

Afifi meraih emas setelah unggul dengan pu­ngutan markah tertinggi 470 mata, manakala perak milik Sugianto dari Indonesia (462) dan pesilat Thailand, Ilyas Sadara (457).