Beliau menegaskan, sasaran itu dibuat berdasarkan kepada alasan yang kukuh dan tidak seharusnya dibandingkan dengan pencapaian negara pada 2001 sewaktu Malaysia menjadi juara keseluruhan di Kuala Lumpur.

Beliau juga meminta agar semua pihak berhenti daripada terus membuat perbandingan dan tidak adil perkara itu diperkatakan kerana terdapat banyak perbezaan dalam temasya kali ini berbanding 16 tahun lalu.

“Sasaran ini dibuat berdasarkan kepada sukan yang dipertandingkan dan prestasi semasa atlet dan saya akan menjadi menteri yang bodoh jika meletakkan sasaran berdasarkan kepada pencapaian 16 tahun lalu. Saya tidak kisah seandainya sasaran itu sama tetapi pada 2001, sasaran kita hanya 80 lebih sahaja pingat emas.

“Paling penting sasaran itu adalah realistik dan atlet negara beraksi dengan baik, hormat lawan mereka dan sudah pasti pingat emas akan menjadi milik mereka,” katanya.

Semalam, Khairy mengumumkan sasaran 111 pingat emas dalam misi bergelar juara keseluruhan di temasya dwitahunan itu selain turut menetapkan sasaran 103 pingat emas juga telah ditetapkan buat Sukan Para ASEAN 2017.

Sasaran ditetapkan itu bersandarkan kepada analisis yang telah dilakukan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke atas sukan-sukan yang akan dipertandingkan dalam edisi kali ini.

Sementara itu Khairy memberitahu, penyenaraian kriket di temasya dwitahunan itu dibuat kerana pihaknya dan MOM mahukan kelainan dalam edisi kali ini.

Jelasnya, sukan kriket sudah menunjukkan peningkatan luar biasa dan seharusnya peminat sukan di negara ini diberi peluang untuk melihatnya.

“Saya menasihatkan orang ramai yang ingin memberi sokongan kepada pasukan kriket negara untuk datang ke venue pertandingan dengan menggunakan pengangkutan awam kerana tempat letak kenderaan di sini agak terhad,” katanya.