Sehari sebelum temasya ditutup, kontinjen negara menghuni tangga ke-12 kedudukan pingat dengan lima emas, lima perak dan 12 gangsa.

Jika menang dua emas terakhir hari ini, Malaysia akan mengumpul tujuh emas, masih tidak cukup untuk memintas negara di tangga ke-10, Cyprus yang mengumpul lapan emas, satu perak dan lima gangsa.

Begitupun, sekiranya Datuk Lee Chong Wei dan gandingan Vivian Hoo-Chow Mei Kuan memenangi saingan akhir perseorangan lelaki serta beregu wanita, ia sekurang-kurangnya membolehkan Malaysia mengatasi pencapaian enam emas yang diraih di Glasgow, empat tahun lalu.

Kegagalan badminton menempatkan diri dalam empat final individu menjejaskan sasaran Malaysia, dan semua berpunca daripada kekalahan Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam beregu lelaki dan campuran. Kedua-dua pemenang perak Olimpik itu hanya menutup kempen dengan gangsa.

Malaysia juga kehilangan emas yang disasarkan dalam berbasikal selepas bekas juara keirin dunia, Azizulhasni Awang pulang dengan tangan kosong akibat masalah kesihatan.

Terjun yang menyasarkan empat pingat tanpa mengira warna, menutup saingan dengan satu emas dan dua gangsa. Emas disumbangkan naib juara Olimpik, Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong dalam 10 meter platform seirama wanita, manakala gangsa Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri menerusi acara sama serta 3m papan anjal seirama.

Acara 10m platform wanita individu yang diharap dapat menokok emas Malaysia kerana menampilkan juara dunia, Jun Heong dan pemenang gangsa Sukan Olimpik 2012, Pandelela bagaimanapun berakhir tanpa pingat.

Walaupun skuasy tidak menyasarkan emas, kekalahan juara dunia lapan kali, Datuk Nicol David mengejutkan peminat negara, selain memberi kesan kepada prestasi keseluruhan kontinjen Malaysia.

Bagaimanapun, pujian harus diberi kepada skuad angkat berat yang menyumbang dua emas menerusi Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad (56 kilogram) dan Muhamad Aznil Bidin (62kg), sekali gus mengatasi sasaran satu emas.

Gimrama juga cemerlang menghadiahkan emas tidak diduga menerusi Amy Kwan dalam acara riben, manakala boling padang menutup kempen dengan emas berpasangan wanita daripada Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji.