Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sasaran tersebut meskipun sukar namun tidak mustahil dicapai oleh atlet Sarawak.

Katanya, latihan insentif sedang dijalankan bagi atlet Para Sukma dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) sebelum latihan berpusat dibuat apabila semakin mendekati hari kejohanan.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan elaun kepada atlet dan jurulatih terlibat bermula April lalu di samping insentif tunai kepada pemenang pingat kelak.

“Kita mahu membuktikan kepada negara dan dunia bahawa OKU di negeri ini dapat mendepani kekurangan yang ada dengan komitmen serta kesungguhan diberikan untuk mencapat kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kem Bina Semangat Pasukan Orang Kurang Upaya (OKU) dan Penyiaran Detik (Countdown) ke Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Sukan Pekak Sarawak, Albert Wong dan Pegawai tadbir (Sukan OKU) kementerian, Matthew Chin.

Kejohanan Para Sukma akan berlangsung 55 hari lagi, manakala SOPMA XX pula 50 hari yang kedua-duanya diadakan di Ipoh, Perak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, platform kejohanan sukan itu penting bagi OKU yang berminat dalam sukan berkenaan untuk menyertainya sebagai salah satu cara dapat menjalani kehidupan lebih bermakna dan berkualiti.

Walau bagaimanapun, Fatimah memberitahu, terdapat peraturan baharu yang dilihat menghadkan penyertaan dan potensi OKU pada Para Sukma nanti iaitu had umur dan acara yang hanya disertai dua negeri akan dibatalkan.

“Persediaan dibuat oleh kira-kira 200 atlet mewakili kita ini tidak senang yang mana mereka perlu berusaha lebih tiga kali ganda daripada orang normal.

“Sekiranya hanya dua pasukan menyertai acara berkenaan, ia akan dibatalkan sekali gus membuatkan mereka tidak dapat mempamerkan hasil latihan dan potensi dimiliki,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE