Baru-baru ini, 'saham' bintang muda Jerman itu semakin melonjak apabila dia merangkul gelaran berprestij, ATP Final dengan me­numpaskan dua legenda - Novak Djokovic dan Roger Federer dalam tempoh dua hari berturut-turut.

Pencapaiannya bukan setakat di situ, malah Zverev yang terkenal dengan julukan Sascha, muncul pemain termuda menamatkan musim lalu pada ranking ketiga dunia.

Zverev, 21, yang membesar de­ngan bermain hoki dan bola sepak, sebelum memberi fokus penuh kepada tenis jarang bercerita tentang wanita.

Namun, dia dikaitkan dengan beberapa wanita, termasuk bintang tenis Switzerland yang semakin meningkat, Belinda Bencic.

Bencic juga berusia 21 tahun dan dilahirkan di Flawil, Switzerland pada 20 Mac 1997 - tua sebulan daripada Zverev.

Kedua-dua bintang muda ini dikatakan berpacaran sejak 2015, dua tahun selepas berkenalan ketika sama-sama menjuarai Kejohanan Remaja Dunia 2013.

Biarpun tiada siapa pernah mengesahkan mengenai hubungan tersebut, namun khabar angin mula bertiup selepas Zverev berkongsi video percutiannya bersama Bencic di Maldives dalam Instagram pada 2015.

Pasangan ini juga sering menghadiri majlis bersama, malah beberapa kali dilihat menikmati makan malam romantik.

Selain Bencic, Zverev turut dikaitkan dengan wanita bernama Romane Lecureux selepas ke­dua-dua mereka sering berkongsi gambar mesra di Facebook dan Instagram.

Begitupun sejurus menyedari kisah peribadinya menjadi buruan media, Zverev memadam semua gambar di media sosial yang boleh menimbulkan persoalan.

Jejaka berketinggian 1.98 meter itu juga sering mengelak setiap kali ditanya tentang teman wanita, de­ngan menegaskan fokusnya hanya kepada sukan.

"Saya seorang ahli sukan, saya jarang ada masa untuk memikirkan tentang perkara lain," kata Zverev, yang fasih berbahasa Jerman, Ing­geris dan Rusia.

Zverev lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan baiknya yang juga pemain tenis seperti Kristina Mladenovic, Nick Kyrgios, Andrey Rublev, Thanasi Kokkinakis dan Dominic Thiem.

Zverev mendapat bimbingan dari­pada bapanya, Alexander Zverev Sr. yang pernah mewakili Kesatuan Soviet.

Pada 1991 Alexander bersama isterinya, Irina yang juga pemain tenis berpindah ke Hamburg bersama anak sulung mereka Mischa dan pasangan suami isteri itu menjadi tenaga pengajar di UHC Tenis Hamburg.

“Saya sedang bermain tenis bersama Mischa pada Sabtu dan Sascha lahir pada keesokan harinya,” kata Irina mengenai detik dia melahirkan Sascha.

 

Alexander 
Zverev Jr.

Ranking dunia: No. 4

Tarikh lahir: 20 April 1997

Tempat lahir: Hamburg, Jerman

Tinggi: 1.98 meter (6 kaki, 6 inci)

Pendapatan: AS$6 juta (RM25 juta)

Hobi: Golf dan bola keranjang

Kelab kegemaran: Miami Heat

Koleksi kereta: BMW i8, Mercedes 
E 300 AMG, Chevrolet Suburban