WADA memberi maklum balas tersebut sejurus selepas laporan siasatan bebas yang dijalankan profesor undang-undang dari Kanada, Richard McLaren didedahkan semalam, di mana bukti-bukti menunjukkan pengambilan doping dalam kalangan atlet Rusia ditaja sepenuhnya pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014.

Badan anti-doping dunia itu mengemukakan tujuh cada­ngan, termasuk menyekat akses seorang pegawai kanan Rusia daripada semua pertandi­ngan antarabangsa.

WADA juga mahu persekutuan antarabangsa sukan-sukan yang dikaitkan dalam laporan itu mengambil tindakan terhadap persatuan sukan kebangsaan Rusia, manakala McLaren dan pasukannya yang membekalkan bukti kepada WADA diberi dana.

“Memalukan. Laporan McLa­ren menguatkan dakwaan dan mendedahkan berlaku manipulasi serius dalam proses kawalan do­ping di makmal satelit yang ditubuhkan di Sochi (Olimpik 2014), selain makmal di Moscow sejak 2011.

“Bukti itu bukan sahaja me­ngaitkan Kementerian Sukan Rusia dengan sistem doping yang bermatlamat mengawal proses kawalan do­ping, malah turut menyatakan terdapat penyertaan serta bantuan daripada pihak Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) dan Pusat Penyediaan Sukan Skuad Kebangsaan Rusia,” kata Presiden WADA, Craig Reedie dalam satu kenya­taan.

Laporan bebas yang mendapat sokongan WADA itu mengesahkan pendedahan yang pernah dibuat oleh bekas Pengarah Makmal Anti-Doping Moscow, Dr. Grigory Rodchenkov, yang dua bulan lalu memberitahu New York Times bahawa puluhan atlet Rusia menggunakan bahan meningkatkan ­prestasi di Sochi dengan kelulusan pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev hari ini menggantung Timbalan Menteri Sukan, Yury Nagornykh, yang turut dikaitkan dalam skandal doping tersebut.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam kenyataan awal semalam pula memberitahu, semua pegawai sukan Rusia yang dikaitkan dalam laporan itu digantung sementara.

Laporan itu memberitahu, Nagornykh menentukan tindakan yang perlu diambil terhadap semua ujian doping dari 2011 dan tahun seterusnya. Dia memutuskan ‘siapa yang akan menerima manfaat dan siapa yang tidak akan dilin­dungi’.

Menteri Sukan Rusia, Vitaly Mutko bagaimanapun membe­ritahu agensi berita TASS bahawa tiada pengesahan konkrit dalam laporan tersebut, malah ke­nyataan diambil daripada sumber yang tidak berintegriti.

“Saya harap, IOC ketika mempertimbangkan keputusan yang hendak diambil akan mendapatkan garis panduan yang tepat dan berpegang kepada fakta bahawa laporan itu tidak menyatakan pengesahan konkrit berlakunya pencabulan dalam pro­ses doping atlet,” katanya. – REUTERS