Kuartet yang dibarisi Shereen Samson Vellabouy, Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam Shally dan Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan perlumbaan dalam masa 45.19 saat.

Catatan itu memperbaharui rekod lama 45.32s dilakukan Zaidatul Husniah, Komalam Shally, Siti Fatimah dan Nurul Faiza Mazlan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura tahun lepas.

Jurulatih pecut negara M. Balamurugan berkata, semua pelari tersebut telah mempamerkan prestasi sebenar mereka sebelum menghadapi Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Tambah Balamurugan, rekod baharu itu telah meningkatkan tahap keyakinan dalam kalangan pelari wanita tersebut untuk meraih keputusan positif dalam Sukan SEA 2017, Ogos ini.

“Saya memang jangka mereka mampu untuk memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 4x100m sewaktu kejohanan ini dan mereka telah membuktikannya.

“Secara jujurnya saya amat gembira dengan pencapaian mereka dengan kejayaan mencipta rekod baharu kebangsaan. Saya juga percaya kuartet ini mampu menjadi lebih baik lagi dalam Sukan SEA nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Malaysia menewaskan Thailand yang meraih pingat perak dengan catatan 45.29s manakala gangsa menjadi milik Singapura yang mencatat 45.65s.

Sementara itu dalam saingan acara 4x100m lelaki menyaksikan Malaysia menamatkan aksi di tempat ketiga dengan catatan masa 40.02s, tewas kepada Thailand yang memenangi pingat emas dengan masa 39.54s manakala pingat perak menjadi milik Hong Kong (39.84s).