Regu Markiman juga tidak sesekali akan bertindak nekad sehingga ke peringkat memboikot mesyuarat agung tahunan (AGM) pemilihan di ibu kota itu.

“Apabila gelanggang dibuka, kami akan masuk berjuang. Kami tidak akan jadi penakut dan lari.

“Biarlah mata rakyat yang melihat sendiri kerakusan (pucuk pimpinan PSM) itu.

“Kalau itulah ahli-ahli gabungan PSM (terus mengundi menyokong regu Datuk Seri Ahmad Ismail) yang tidak mahukan kemajuan, penambahbaikan, perubahan dan kebaikan, mereka patut menjawab kepada penggiat dan peminat sepak takraw negeri-negeri tentang amanah yang dipikul,” katanya.

Markiman yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor berkata demikian ketika ditemui dalam program Himpunan Sepak Takraw Di Hatiku anjuran Kelab Bekas Pemain Sepak Takraw Kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Beliau bakal menyaingi Ahmad yang menerajui PSM selama empat penggal berturut-turut sejak 2002 dalam AGM itu selain Datuk Akramuddin Aziz.

Turut hadir ialah pencabar kerusi Timbalan Presiden PSM milik Akramuddin, Syed Araniri Syed Ahmad dan seorang lagi ahli regu Markiman, Syed Husain Syed Abu Bakar bagi jawatan Naib Presiden persatuan.

Himpunan itu turut dihangatkan dengan kehadiran ramai jagoan silam negara antaranya Rosli Ab. Rahman, Farid Hamdan, Rommi Suhendra Norsal, Jamry Ederis, Awaluddin Hamid, Suhaimi Yusof dan Adi Suzier Manaf.

Dalam perhimpunan itu, Markiman turut melancarkan manifestonya yang antaranya menjanjikan untuk membuat perubahan berkaitan tadbir urus persatuan dan pembangunan sepak takraw.- UTUSAN ONLINE

Manifesto Markiman Kobiran

• Memansuhkan pelantikan tujuh ahli bebas Majlis Tertinggi

• Pelantikan Pengurus Besar PSM dibuat secara terbuka

• Perbicaraan kes tatatertib secara telus

• Menjadikan Perlembagaan PSM sumber rujukan utama

• Menghapuskan kuasa Ahli Majlis Tertinggi dalam pemilihan

• Mewujudkan jawatan Timbalan Presiden 2 bagi Sabah dan Sarawak

• Mewujudkan Pusat Kecemerlangan Sepak Takraw Negara dan negeri-negeri

• Melantik Pengarah Teknikal PSM daripada individu berkelayakan

• Menyediakan pelan induk pembangunan sepak takraw lima tahun

• Menubuhkan Majlis Penasihat Sepak Takraw (profesional sukan dan penggiat sepak takraw)

• Menjalin perjanjian persefahaman dengan sektor swasta membantu penganjuran kejohanan kebangsaan dan antarabangsa

• Mendaftarkan kelab sepak takraw sebagai ahli bersekutu

• Menubuhkan panel pemilihan jurulatih negara

• Membanyakkan kejohanan kebangsaan dianjurkan di negeri-negeri secara bergilir