Rayzam melebur rekod lama milik Nur Herman Majid yang dilakukan pada Sukan Asia Hiroshima 1994 iaitu 13.73 saat dengan mencatat masa 13.67s dalam Kejohanan Olahraga B&S Kurpfalz Gala 2017 di Weinheim, Jerman ketika memenangi saingan akhir B.

Menurut pelari berusia 29 tahun itu, misinya kini adalah cuba untuk merampas semula pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi di Korat, Thailand pada 2007, apabila beraksi di depan penonton sendiri.

“Ya saya akan berusaha memenangi semula pingat emas Sukan SEA, tambahan pula kali ini Malaysia adalah tuan rumah.

“Sasaran saya kini adalah untuk berlari sekitar 13.50s atau 13.60s.

“Jurulatih saya, Jan May dari Leipzig, Jerman berjaya membantu saya berlari lebih pantas,” kata atlet kelahiran Sabah itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ketika ini pencabar terdekat Rayzam dalam Sukan SEA 2017 ialah Xaysa Anousone dari Laos selepas pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, Jamras Rittidet bersara.

Rayzam akan menerima ganjaran RM5,000 daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) atas kejayaannya memecah rekod tersebut.