Bagaimanapun, Timbalan Pre­siden PBBM, Datuk Dr. Ahmad Badrus Othman berkata, tarikh sebenar belum ditetapkan.

Katanya, jawatankuasa rayuan itu akan dipengerusikan oleh Naib Presiden PBBM, Datuk Wira Masood Zainal Abidin yang akan membincangkan asas rayuan Sazali yang dikemukakan menerusi surat rasmi atlet itu pada 8 Januari lalu.

“Anggota lain jawatankuasa itu termasuk tiga lagi Naib Presiden PBBM iaitu Datuk Wee Hong Seng, Abdul Shukor Mohamad Noor dan Rosman @ Asik Hussain Mohd. Thalha selain saya dan Setiausaha Kehormat, Kamaruzaman Kadir akan turut hadir selaku pemerhati.

“Jawatankuasa itu akan meneliti dan membincangkan asas rayuan Sazali dalam mesyuarat di ibu pejabat PBBM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kalau perlu juga mungkin Jawatankuasa Rayuan menimbangkan untuk memanggil Sazali semula (seperti mana ketika mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin (bulan lalu),” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Ahmad Badrus juga mengesahkan bahawa tiada pihak berkecuali selain pegawai kanan PBBM yang akan diundang menganggotai jawatankuasa rayuan tersebut.

“Hasil mesyuarat Jawatankuasa Rayuan PBBM itu akan dimajukan kepada Adamas dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tindakan susulan mereka,” katanya.

Sazali, 49, gagal ujian doping di luar pertandingan yang dijalankan Agensi Antidoping Malaysia (Ada­mas) dengan kerjasama PBBM dan dikesan menggunakan steroid sebelum menyertai Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Ke-49 di Tashkent, Uzbekistan dari 29 September hingga 5 Oktober 2015.

Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin PBBM pada 21 Disember lalu, mengumumkan penggantungan empat tahun dan denda RM2,000 terhadap atlet kelahiran Batu Pahat, Johor itu daripada sebarang kegiatan bina badan mulai 22 September 2015 hingga 22 September 2019.