RAYNA HO menunjukkan pingat perak yang dimenangi dalam acara gimrama pada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina hari ini.

Gimnas berumur 15 tahun itu bergabung dengan 12 gimnas dari pelbagai negara mewakili pasukan Max Whitlock berjaya menduduki tempat kedua acara berpasukan yang menampilkan semua disiplin gimnastik - akrobatik, artistik lelaki, artistik wanita, gimrama, trampolin lelaki dan trampolin wanita dengan mengumpul keseluruhan 349 mata.

Emas dimenangi pasukan Simone Biles yang mengumpul 293 mata manakala Oksana Chusovitina meraih gangsa dengan 352 mata.

“Saya tetap gembira dengan kejayaan ini kerana telah melakukan yang terbaik.

“Ini adalah penampilan pertama saya dalam temasya ini dan sudah pasti memberi pengalaman yang cukup bermakna apabila dapat bertanding dengan gimnas-gimnas terbaik dunia,” kata Rayna kepada Utusan Online.

Pingat tersebut bagaimanapun tidak dikira dalam pungutan pingat rasmi temasya kerana ia hanya diperkenalkan buat kali pertama sejak YOG diperkenalkan pada 2010.

Rayna, yang beraksi dalam acara gelung dan belantan pada saingan tersebut sebelum ini mencuri tumpuan kerana kejayaan merangkul lima pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) di Ipoh, bulan lalu.

Terdahulu Rayna sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-19 daripada 35 gimnas yang bertanding dalam saingan all-around, sekali gus gagal menempatkan diri ke final. Hanya lapan atlet terbaik layak untuk beraksi di pentas akhir.

Rayna, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas itu adalah gimnas ketiga negara yang layak ke YOG selepas Lee Wan Nin menyertai edisi pertama di Singapura pada 2010 dan Olivia Tai beraksi di Nanjing 2014. - UTUSAN ONLINE