Pengumuman tersebut dibuat Presiden Kelab JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dalam entri terbaharu laman Facebook rasmi Kelab Bolasepak JDT, JOHOR Southern Tigers sebentar tadi.

Menurut Tunku Aminah, selain mempunyai pengalaman menjadi 'caretaker coach' kelab Espanyol, pengalaman bersama-sama kelab JDT selama tiga tahun dan arif mengenai kelab serta falsafah bola sepak JDT menjadi faktor beliau dilantik untuk melatih JDT.

"Oleh itu kelab telah memutuskan untuk beliau menjadi ‘caretaker coach’ dan akan dibantu oleh Ismail Ibrahim, Penolong Jurulatih JDT," katanya.

Semalam, Ulisses Morais dari Portugal mengumumkan meletak jawatan sebagai pengurus dan ketua jurulatih JDT dengan memberi alasan masalah kesihatan keluarganya.

Jurulatih yang bakat bola sepaknya digilap di Akademi Benfica itu membantu JDT memenangi Liga Super untuk kali keempat berturut-turut tahun lalu dan kemudian menerima gelaran keduanya apabila membimbing Harimau Selatan menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. - UTUSAN ONLINE.