Jaguh Sepanyol itu memahat sejarah di Roland Garros apabila menjadi pemain pertama dalam era Terbuka berjaya menjuarai kejohanan Grand Slam tanah liat tersebut sebanyak 10 kali selepas menang 6-2, 6-3, 6-1 ke atas pemain Switzerland, Stan Wawrinka dalam perlawanan akhir.

Kemenangan tersebut mengukuhkan status Nadal, 31, sebagai ‘Raja Gelanggang Tanah Liat’, malah menambah koleksi kejuaraannya selepas menang buat kali pertama pada 2005, diikuti 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2017.

Ramos, yang turut mengharungi musim cemerlang bersama Real dengan membawa gergasi bola sepak Sepanyol itu muncul juara Eropah buat kali ke-12 musim ini, selain merampas takhta La Liga, menyifatkan Nadal sebagai ikon sukan Sepanyol.

“Dia adalah ikon sukan Sepanyol dan antara atlet terhebat dalam sejarah sukan negara.

“Selain kehebatannya di gelanggang tenis, dia juga adalah peminat tegar Real Madrid. Saya mahu mengucapkan tahniah kepadanya,” kata Ramos kepada pemberita sejurus selepas membantu Sepanyol menumpaskan Macedonia 2-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Skopje, hari ini.

Kemenangan terbaharu itu meletakkan skuad La Roja mendahului Kumpulan G dengan berkongsi mata bersama Itali, tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol. - AGENSI