Semua atlet kini tiada pilihan kecuali bebas daripada merokok atau bakal digugurkan daripada program berprestasi tinggi itu yang mula diperkenalkan pada Februari, 2016.

Jika digugurkan, itu bermakna mereka akan kehilangan banyak kelebihan bergelar atlet elit kebangsaan seperti elaun yang lebih besar, selain peluang untuk menyertai lebih banyak pertandingan di luar negara.

Bekas pemain No. 1 dunia, Chong Wei berkata, dia menyokong penuh syarat baharu yang diperkenalkan Institut Sukan Negara (ISN) itu kerana untuk berjaya dalam sukan, mereka tidak boleh berkompromi dalam isu disiplin.

 

“Itu syarat yang bagus kerana jika atlet merokok pasti susah untuk mempamerkan prestasi terbaik kerana ia bukan sesuatu yang sihat.

“Ini juga berkaitan dengan disiplin kerana jika anda merokok bagaimana anda mahu mewakili negara dalam sukan dengan imej yang tidak sihat sebegitu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, pihaknya akan menjalankan ujian terhadap semua atlet Program Podium sewaktu ujian saringan dan mereka yang didapati merokok akan digugurkan.

Pemegang rekod lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail yang berada dalam senarai terbaharu Program Podium percaya, peraturan baharu itu dikuatkuasakan bagi memastikan prestasi atlet sentiasa di tahap terbaik.

“Saya percaya semua atlet menyokong dan bersetuju dengan syarat baharu Program Podium kerana pakar sains sukan ISN pasti lebih mengetahui cara terbaik untuk memastikan semua atlet kekal cergas.

“Saya setuju dengan syarat ini kerana ada atlet yang merokok dan perkara itu harus dibendung terutama dalam kalangan mereka yang berada dalam Program Podium,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen pula berkata, merokok dalam kalangan atlet bukan perkara baharu dan tabiat tersebut harus dihentikan kerana semua atlet adalah contoh terbaik untuk gaya hidup sihat.

“Dahulu Majlis Sukan Negara dan ISN juga pernah kuatkuasakan syarat sebegini dan kini Program Podium memperkenalkannya semula bagi memastikan semua atlet bebas rokok.

“Saya bersetuju, tetapi mungkin atlet yang merokok juga harus diberi peluang untuk berhenti andai ingin terus bersama dalam Program Podium,” kata Stephen.