Ketua jurulatih skuad negara, Saizul Hafifi Md Nor berkata kejohanan di empat negara itu bakal menjadi persiapan utama pasukan kebangsaan, sebelum berdepan cabaran getir mempertahankan pingat emas di Filipina, memandangkan prestasi skuad tuan rumah semakin meningkat sejak tahun lepas.

Beliau dan pembantunya Mohamad Nazeer Nesharah bersama-sama 16 pemain skuad negara yang menandatangani kontrak bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, bakal memulakan latihan pusat secara sepenuh masa di Universiti Putra Malaysia (UPM) minggu depan.

"Kita akan membuat persiapan rapi bermula minggu hadapan kerana kita jangka cabaran sengit dari Filipina yang mempunyai ramai pemain kacukan dari England, New Zealand dan sebagainya. Kita juga sedar ancaman daripada pasukan Singapura dan Thailand.

"Pada masa ini, kita merancang empat kejohanan, Borneo Sevens di Sandakan pada (23-24) Mac, selain kejohanan di Singapura, Sri Lanka dan Jepun. Kita mempunyai skuad cukup berpengalaman apabila berjaya mengekalkan 10 daripada 12 pemain yang meraih pingat emas Sukan SEA 2017," katanya kepada pemberita di MSN.

Menerusi perjanjian ditandatangani di hadapan Ketua Cawangan Sukan Berpasukan MSN, Shukri Harun, dua jurulatih dan 16 pemain itu akan diberi elaun bulanan bermula bulan ini sehingga tamat Sukan SEA 2019 pada Disember.


Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat emas ragbi pertamanya pada Sukan SEA edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas menewaskan Singapura dalam aksi final, manakala ketika ragbi 7s dianjurkan buat kali pertama pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia meraih perak selepas tewas kepada Filipina.


Sementara itu, pengurus pasukan negara, Prof Madya Dr Ahmad Ahmad Naim Ismail berkata barisan pemain berusia antara 20 dan 27 tahun itu dipilih kerana pengalaman dan kekuatan fizikal mereka yang boleh membantu Malaysia mempertahankan pingat emas.


Senarai 16 pemain: Zulkiflee Azmi, Muhammad Hezry Muhammad Anis, Muhammad Azwan Zuwairi Mat Zizi, Amalul Hazim Nasaruddin, Muhammad Siddiq Anir Jalil, Muhammad Dzafran Asyraaf Muhamad Zainudin, Mohamad Safwan Abdullah, Wan Izzuddin Ismail. Muhammad Ameer Nasrun Zulkefli, Muhamad Firdaus Tarmizi, Muhammad Zulhisham Rasli, Mohamad Nasharuddin Ismail, Nur Azri Azmi, Mohamad Sofian Mohamad Kamil, Joseph Gordon, Anwarrul Aswad @Hafiz Ahmad.
- BERNAMA