Jurulatih, Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor berkata, anak-anak buahnya akan beraksi sebagai pasukan kebangsaan dalam kejohanan anjuran Kelab Ragbi Eagles (ERC) itu yang turut mengundang beberapa pasukan ternama antarabangsa.

“Bayangan pemain utama ke Komanwel sudah pun ada tetapi kami tidak mahu masing-masing berasa selesa, jadi kami perlu uji kemantapan, kecergasan dan keserasian mereka dalam satu pertandingan sebenar di Sandakan itu.

“Setakat ini ada 18 pelatih Sukan Komanwel namun enam akan digugurkan selepas dua lagi terpaksa menarik diri iaitu Nur Azri Azmi dan Muhammad Nazir Asaari atas alasan pelajaran dan peribadi,” katanya.

Skuad negara sebelum ini menimba dua pendedahan antarabangsa di Sydney, Australia sebagai persediaan fasa akhir Komanwel dari 6 hingga 20 Februari lalu dengan menyertai Whale Currry Memorial dan Lake Macquarie.

“Daripada lapan perlawanan di sana (empat setiap kejohanan) kami berjaya menang dua kali,” katanya yang turut akan menjadikan Sukan Komanwel medan persediaan memburu pingat Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini selepas cemerlang membantu mengalungkan Malaysia dengan emas Sukan SEA 2017.

Mengenai Sukan Komanwel yang menempatkan Malaysia dengan kuasa dunia seperti Afrika Selatan dan Scotland dalam Kumpulan A selain Papua New Guinea (PNG), katanya, “inilah peluang kita untuk menimba pengalaman berguna kerana bukan mudah dapat berdepan lawan-lawan handalan seperti itu walaupun untuk mengadakan siri persahabatan.

“Hendak menang dengan mereka memanglah tidak boleh dan kita kena bersikap realistik. Cuma pemain-pemain perlu gunakan kesempatan ini untuk bersaing dan belajar sesuatu di sana.

“Misi kita juga ialah cuba menyaingi lawan dengan habis-habisan, mengelak jadi budak belasahan atau dilabel makan angin sahaja,” katanya selain menetapkan sasaran sekurang-kurangnya berada antara 12 terbaik daripada 16 pasukan yang bertanding.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan Papua pada Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan Delhi 2010, skuad Saizul Hafifi mempunyai peluang yang lebih cerah untuk merapatkan jurang mata berbanding apabila menghadapi Afrika Selatan dan Scotland yang di ranking dunia jauh lebih baik.

Malaysia tewas kepada PNG 36-7 dalam saingan Kumpulan C di Glagsow dan 56-10 di Delhi, empat tahun terdahulu.

Kita juga dibenam Wales 52-0 dan Samoa 54-0 sebelum ke suku akhir kategori Bowl Sukan Komanwel 2014 dengan dikalahkan Uganda 35-0 dan disekat Trinidad & Tobago 15-10 dalam separuh akhir kategori Shield.