Jelas Holloway, Rafiq merupakan pemain yang tidak banyak ragam dan memiliki kelebihan tersendiri terutama bijak mengendalikan sebarang tekanan ketika di dalam gelanggang.

“Rafiq adalah pemain yang jarang ditemui. Dia seorang atlet yang cukup berdisiplin, berkeyakinan dan berdiri dengan bakatnya sendiri.

“Saya kurang risau dengannya sebab saya tahu dia bagaimana. Dia boleh berdikari dengan baik dan mampu melangkah jauh kerana usianya masih muda.

“Paling menarik, dia pemain yang matang dan bijak mengendalikan tekanan,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini selepas pulang ke tanah air dari Hong Kong, hari ini.

Sabtu lalu, jaguh dunia berusia 21 tahun itu melakar sejarah apabila berjaya menamatkan kemarau 39 tahun dengan membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan di Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong.

Dalam kejohanan itu juga menyaksikan gandingan Adrian Ang-Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam turut meraih gelaran dunia menerusi acara beregu lelaki sehari selepas kejayaan Rafiq.

Sementara itu, Rafiq, yang juga pemenang emas Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berkata, dia kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi seperti ratu boling negara, Shalin Zulkifli dalam versi lelaki.

“Saya ada cakap pada Shalin semasa dia mengucapkan tahniah kepada saya, bahawa saya satu hari nanti ingin jadi sepertinya, dan kejayaan ini adalah salah satu langkah ke arah itu,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE