Rafiq yang berada di tempat keenam selepas tamat lapan game dalam blok pertama semalam, bangkit untuk menduduki tempat pertama setelah tamat pusingan kelayakan dengan 3,995 jatuhan pin sekali gus menunggu dalam perlawanan akhir step ladder.

Atlet berusia 21 tahun itu kemudian meraih kemenangan terbesar dalam kariernya selepas mengejar daripada ketinggalan 21 mata untuk menewaskan Jong-woo dari Korea Selatan 534-511 (245-266, 289-245) dalam dua game akhir di Pusat Boling Jakabaring di sini hari ini.

Dalam game kedua, Rafiq melakukan sembilan strike dan sembilan spare untuk mengecewakan Jong-woo, yang merupakan juara dunia dua kali.

Jong-woo sebelum itu menewaskan rakan senegara Koo Seong-hoi 254-245 dalam separuh akhir.

Pingat emas diperoleh Rafiq adalah yang kedua dimenangi Malaysia di gelanggang boling dalam Sukan Asia 2018 selepas Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah memenangi acara trio wanita pada hari pertama.

“Saya tidak pernah berhenti berharap dan melawan hingga ke frame terakhir. Saya tahu saya mesti fokus dan membuat balingan yang bagus kerana Park adalah pemain berpengalaman.

“Saya sangat gembira kerana menang. Ini seperti menang pingat emas Olimpik,” kata Rafiq.

Kemenangannnya itu bermakna Rafiq menghalang Korea Selatan daripada mendominasi acara Masters lelaki buat kali keempat berturut-turut.

Seorang lagi pemain Malaysia, Syafiq Ridhwan Abdul Malek pula menduduki tempat kelapan daripada 16 peserta dalam pusingan akhir dengan 3,806 jatuhan pin.

Syaidatul dan Natasha Roslan pula menduduki tempat ke-10 dan 14 dalam acara wanita selepas masing-masing mengutip 3,695 dan 3,544 jatuhan pin.