Qabil berkedudukan emas ketika memasuki saingan akhir hari ini, namun kesilapan kecil yang dilakukan kudanya, Rosentolz akibat gemuruh menyebabkan dia terlepas kejuaraan dalam acara ekuestrian dressage individu di Pusat Ekuestrian Antarabangsa Jakarta.

Ekuin berusia 38 tahun itu sebelum ini mengungguli dua pusingan awal bersama kudanya, namun kedudukan itu dipintas Jacqueline Siu dari Hong Kong yang memungut 77. 045 mata, meninggalkan Qabil dengan 76.620 mata. Gangsa milik Hyeok Kim dari Korea Selatan (75.805 mata).

“Ketika memasuki arena saya dapat rasakan Rosentolz sedikit tertekan hingga menyebabkan dia melakukan kesilapan kecil yang merugikan mata.

“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan keputusan hari ini kerana berjaya meraih pingat perak buat kali pertama dalam Sukan Asia.

“Kemenangan ini juga berbaloi dengan segala kerja keras sebelum ini, malah tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan keserasian dengan Rosentolz,” katanya.

Biarpun kempunan untuk menghadiahkan emas, namun kejayaan meraih perak memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih Qabil dalam dua temasya terdahulu di Doha 2006 dan Guangzhou 2010.

Kejayaan itu juga memberi kepuasaan buat Qabil yang telah berbelanja lebih RM1 juta untuk menyertai temasya kali ini selepas lapan bulan tidak beraksi.

Qabil sanggup mengeluarkan RM800,000 untuk membawa Rosentolz, kuda yang digunakan adiknya, Quzandria Ambak ketika meraih dua pingat emas Sukan SEA 2017 dari Denmark.

Ekuin senior negara itu menyertai Sukan Asia 2018 menerusi kategori B dan kejayaan meraih pingat membolehkan segala kos yang ditanggung sendiri sebelum ini bakal dibayar balik Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Kos keseluruhan penyertaan saya untuk beraksi dalam Sukan Asia berjumlah RM1 juta termasuk penjagaan kuda di sini, kos penerbangan, pemeriksaan doktor dan lain-lain.

“Sebelum ini saya memang yakin mampu mendapatkan pingat Sukan Asia 2018 dan kerana itu saya membuat keputusan mengeluarkan belanja sendiri bagi menyertai temasya ini,” kata Qabil.