Kekacakan wajah di samping memiliki tubuh yang segak dan sasa telah membuat hati ramai wanita di luar sana cair.

Beliau yang merupakan pe­wa­ris takhta diraja Brunei keenam bakal beraksi pada Sukan SEA Ke-29 setelah terpilih mewakili skuad polo ekuestrian Brunei dalam pertandingan yang berlangsung di Putrajaya Equestrian Park pada 22 hingga 29 Ogos ini.

Bagi mereka yang belum me­ngetahui latar belakang Putera Mateen, anak ke-10 kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bol­kiah dan bekas isterinya, Pengiran isteri Hajah Mariam dilahirkan pada 10 Ogos 1991.

Putera Mateen yang baru sahaja menginjak usia 26 tahun, 10 hari lalu, merupakan figura yang cukup popular di laman sosial apabila memiliki 369,000 orang pengikut di Instagram.

Pesona sempurna dimiliki putera raja itu yang aktif bersukan menjadikan beliau kelihatan hebat di mata peminat fanatiknya.

Putera Mateen seorang yang aktif bersukan, maka tidak hai­ranlah jika beliau memiliki bakat bermain bola sepak, polo, ekuestrian, golf dan sukan tinju. Beliau juga gemar melibatkan dirinya di dalam aktiviti lasak seperti sky diving dan menyelam skuba.

Mengakui dirinya gemar bersukan, Putera Mateen pernah beraksi bersama pasukan bola sepak Brunei, AM Gunners, selain mendapat pengiktirafan dari­pada PADI Open Water Course yang membolehkan beliau menyelam ke dasar laut sedalam 18 meter.

Selain aktif bersukan, Putera Mateen juga merupakan seorang lelaki yang memiliki sifat pe­nyayang dan mempunyai hu­bungan akrab dengan ahli keluarganya. Beliau sa­ngat mengutamakan ke­luarga dan sering memuat naik gambarnya bersama ayah­anda, ibu dan adik beradiknya di Instagram.

“Saya mempunyai sebuah keluarga yang besar tetapi saya paling rapat dengan abang paling tua dan dua orang kakak. Banyak masa kami luangkan bersama-sama. Saya masih ada rakan-taulan, cuma susah untuk saya berenggang dengan keluarga dan mereka merupakan sumber inspirasi saya,” katanya dalam satu temubual bersama sebuah majalah antarabangsa.

Putera kacak itu yang memiliki hobi unik memelihara beberapa ekor anak harimau yang dibela di kediamannya, merupakan lulusan Ijazah Sarjana dalam jurusan Diplomasi Antarabangsa di SOAS, University of London.

Melengkapi statusnya sebagai putera raja, beliau turut mengikuti akademi ketenteraan diraja di Royal Military Academy Sandhurst, England dan menerima pangkat Leftenan. Seperti anak muda lain, Putera Mateen juga memiliki kemahiran fotografi, dan pandai bermain alat muzik seperti gitar serta dram.

Beliau yang gemar berfesyen turut memiliki koleksi kereta mewah seperti Ferrari, superbike dan jet peribadi, maka tidak hairanlah sekiranya Putera Mateen mempunyai lesen untuk menerbangkan jet beliau sendiri.