Atlet negara beraksi cemerlang dan menutup hari ini dengan kutipan sebanyak 16 pingat secara keseluruhan.

Dan malam ini, gelaran Raja Pecut kembali menjadi milik kita di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan seperti diduga berjaya menjelmakan kilauan emas dalam acara riben biru ini dengan catatan masa 10.38.s untuk emas acara pecut 100m. Terdahulu, emas pertama olahraga disumbangkan oleh Muhammad Irfan Shamsuddin dari acara lempar cakera.

Di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), wusyu terus memberi persembahan emas melalui Ho Mun Hua dalam acara nanquan lelaki, diikuti oleh Loh Jack Chang dalam acara taijiquan lelaki. Di venue yang sama, pasukan karate turut menghadirkan tiga butiran emas melalui Lim Chee Wei (kata individu lelaki), Celine Lee Xin Yi (kata individu wanita) dan S. Senthil Kumaran (kumite lelaki bawah 60kg).

Dan satu keunikan berlaku di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, apabila dua gimnas negara 'menghadiahkan' dua emas dalam satu acara apabila Tan Fu Jie dan Jeremiah Loo muncul juara bersama acara kekuda berpelana selepas terikat dengan kutipan mata sama iaitu 13.650. Satu lagi emas gimnastik hadir dari acara melombol wanita individu yang dimenangi oleh Tan Ing Yueh.

Pingat emas lain:

  • Ujian masa basikal berpasukan - Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Nik Mohd. Azwan Zulkifle, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal
  • Equestrian dressage berkumpulan - Qabil Ambak Mahamad Fathil, Quzandria Nur, Edric Lee dan Quek Sue Yian
  • Air pistol 25 meter - Alia Sazana Azahari
  • Petanque lelaki individu - Muhammad Hafizuddin Mat Daud
  • Pelayaran Optimist - Nor Nabila Natasha Mohd. Nazri, Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah
  • Boling beregu campuran - Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane

 

 

EMAS

PERAK

GANGSA

JUMLAH

MALAYSIA 40 31 22 93
SINGAPURA 20 20 19 59
VIETNAM 16 11 18 45
THAILAND 12 17 26 55
INDONESIA 12 14 23 49
FILIPINA 8 11 11 30
MYANMAR 4 4 5 13
BRUNEI 0 1 5 6
LAOS 0 1 1 2
KEMBOJA 0 0 5 5
TIMOR LESTE 0 0 0 0
sumber: BERNAMA