Hajat pasukan squasy negara untuk membawa pulang dua pingat emas acara individu tersekat apabila kedua-dua pemain lelaki dan wanita terkandas dalam laluan ke pusingan akhir.

Hasrat Datuk Nicol David untuk merangkul pingat emas selepas edisi 2010 di New Delhi dan 2014 di Glasgow disekat oleh pemain New Zealand, Joelle King 11-13, 5-11, 11-1, 5-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 39 minit di Oxenford Studios, Gold Coast.

Nicol jelas kecewa, namun masih menaruh harapan tinggi untuk menyumbang pingat untuk kontingen negara dalam penentuan gangsa, esok.

"Saya telah memberikan yang terbaik tetapi kadang-kadang terbaik itu tidak cukup untuk menang.

"Sudah tentu ia mengecewakan tetapi saya masih ada esok dalam perlawanan pingat gangsa. Saya akan fokus dan berharap dapat konsisten dan melakukan yang terbaik, " tambahnya.

Terdahulu, dalam acara separuh akhir lelaki, Mohd. Nafiizwan Adnan, yang semalam membuat kejutan mengalahkan pilihan utama kejohanan, Nick Matthew dari England, gagal mengulangi pencapaiannya apabila tewas kepada seorang lagi pemain England, James Wilstrop 6-11, 10-12, 4-11 dalam perlawanan separuh akhir lelaki yang berlangsung selama 49 minit.

Esok, kedua-dua pemain negara ini akan beraksi di dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, di mana Nicol akan menentang pemain Wales, Tesni Evans, manakala Nafiizwan akan bertemu Joel Makins, juga dari Wales.

Pasukan basikal trek negara turut mengecewakan pada hari terakhir sukan itu hari ini apabila pulang dengan tangan kosong tanpa memenangi sebarang pingat.

Bagi pasukan badminton negara, hasrat merangkul pingat emas acara berkumpulan hanya tinggal selangkah sahaja lagi apabila hari ini, mereka berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir setelah mengalahkan England 3-0 di Pusat Sukan Carrara.

Dalam perlawanan akhir esok, Malaysia akan menentang India pada pukul 3.30pm (waktu Malaysia). - UTUSAN ONLINE/BERNAMA

 

KEDUDUKAN NEGARA EMAS PERAK GANGSA JUMLAH
1 AUSTRALIA 31 25 28 84
2 ENGLAND 19 19 9 47
3 KANADA 7 15 10 32
4 INDIA 7 2 3 12
5 SCOTLAND 6 7 10 23
6 NEW ZEALAND 4 7 6 17
7 AFRIKA SELATAN 4 1 4 9
8 WALES 3 4 3 10
9 CYPRUS 2 0 2 4
10 MALAYSIA 2 0 1 3
           
* kedudukan kutipan 10 teratas
Sumber: results.gc2018.com