Hanya dua pingat gangsa berjaya diraih atlet Malaysia dalam kempen mereka pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia yang masuk hari kelapan, hari ini.

Dalam acara gimrama di Pusat Sukan Tertutup Coomera, Amy Kwan berjaya menghadirkan kilauan gangsa apabila menduduki tempat ketiga acara individu all-around.

Pada aksi final hari ini, Amy yang turun sebagai gimnas kedua terbaik di pusingan kelayakan mengumpul 51.500 mata menerusi empat disiplin iaitu gelung, bola, belantan dan riben.

Satu lagi pingat gangsa hadir menerusi atlet pecut para negara, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah dari acara T12 100m di Stadium Carrara, Gold Coast.

Beliau mencatat 11.28 saat, hanya 0.01 saat di belakang pelari Afrika Selatan, Hilton Lanegnhoven yang memenangi pingat perak, manakala pingat emas menjadi milik seorang lagi pelari Afrika Selatan, Ndodomzi Ntutu yang mencatat 11.02s. - UTUSAN ONLINE

 

KEDUDUKAN NEGARA EMAS PERAK GANGSA JUMLAH
1 AUSTRALIA 63 46 47 156
2 ENGLAND 28 32 27 87
3 INDIA 14 7 10 31
4 KANADA 12 29 19 60
5 AFRIKA SELATAN 11 9 12 32
6 NEW ZEALAND 10 12 9 31
7 SCOTLAND 7 13 15 35
8 WALES 7 8 10 25
9 CYPRUS 6 0 2 8
10 JAMAICA 4 6 5 15
** ** ** ** ** **
12 MALAYSIA 3 3 7 13
           
* kedudukan kutipan 10 teratas, termasuk Malaysia
** setakat pukul 9pm (waktu Malaysia)
Sumber: results.gc2018.com