Malaysia hanya menunggu keputusan rasmi untuk menambah satu lagi pingat emas dan perak menerusi skuasy selepas Datuk Nicol David dan S. Sivasangari menguasai perlawanan akhir individu wanita esok.

Setakat ini, kontinjen negara hanya mengumpul satu emas iaitu menerusi skuad trio boling wanita namun esok sudah pasti akan mendapat emas kedua tetapi siapa atlet yang bakal merangkulnya akan ditentukan oleh Nicol dan Sivasangari selepas mereka menewaskan lawan masing-masing dalam separuh akhir hari ini.

Dalam edisi empat tahun lalu di Incheon, skuasy menyumbang dua pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa, menjadikan mereka antara

pasukan paling konsisten menyumbang pingat kepada kontinjen negara.

Sementara itu, Mohd. Nafiizwan Adnan menyumbangkan gangsa untuk kontinjen negara selepas kalah 11-5, 11-6, 5-11, 5-11, 9-11 kepada Max Lee dari Hong Kong di separuh akhir individu lelaki.

Hari ini juga, pasangan beregu lelaki badminton negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin melakar kejutan di temasya tersebut dengan menyingkirkan pasangan No.3 dunia dari Jepun, Keigo Sonoda-Takeshi Kamura untuk mara ke suku akhir.- UTUSAN ONLINE

KEDUDUKAN PINGAT 25 OGOS 2018

* Kutipan pingat setakat pukul 10.30 malam (waktu Malaysia)