MOHD. SHAPIAN ALI
MOHD. SHAPIAN ALI

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd. Shapian Ali berkata MSN menerusi Lembaga Pengurusnya ibarat bapa yang berhak menarik balik status sukan wajib dan peruntukan setelah menilai pelaburan kepada si anak tidak membawa pulangan yang dikehendaki.

“Yang pegang jawatan dalam PSM itu patut sedar diri dan berundurlah. MSN ini macam bapa, dia pun ada alasan dan hak kalau sudah asyik beri duit (peruntukan) tetapi tiada perubahan pencapaian si anak (persatuan kebangsaan), tentulah hatinya pun sakit menengoknya.

“Ini boleh pula dipersalahkan orang lain,” sindirnya, merujuk laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai mesej Presi­den PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail yang berang kerana Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak menggunakan kuasa memujuk ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga berkenaan selain mahukan MSN turut bertanggungjawab atas kegagalan pembangunan sepak takraw.

“Saya mengalu-alukan cadangan MSN mengambil alih program pembangunan sepak takraw. Peruntukannya pun boleh terus dapat kepada negeri-negeri. Tidak macam sekarang, kami pun tidak tahu ke mana perginya (peruntukan),” kata bekas Timbalan Presiden PSM itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mazlan dalam kelmarin me­nyarankan pengambilalihan pembangunan sepak takraw selain taekwondo dan angkat berat oleh MSN termasuk melatih atlet-atletnya demi memastikan ketiga-tiga sukan itu memiliki program pembangunan selepas digugurkan daripada program sukan teras Rabu lalu.

Pengguguran tiga sukan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berdasarkan semakan semula prestasi sejak 2007, ter­utama sepak takraw yang me­nyaksikan ranking pasukan negara kian digugat negara-negara baharu.

Selain itu Shapian melahirkan rasa sedih dengan penurunan status sepak takraw daripada sukan wajib kepada sukan pilihan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, memandangkan kerjasama padu PSNT dan Majlis Sukan Negeri Terengganu dalam membuat persediaan menghadapinya.

“Kami kena akur dengan MSN jika itulah keputusannya walaupun kerajaan negeri Terengganu mungkin terpaksa kaji semula peruntukan kepada pasukan sepak takraw Sukma Terengganu apatah lagi kalau Perak sebagai tuan rumah tidak mahu mempertandingkannya kerana status pilihan itu,” katanya.

Katanya, skuad bawah 21 tahun Sukma Terengganu kini berkampung selama sebulan di Universiti Kamsit, Bangkok sejak 28 November lalu sebagai persediaan menghadapi Sukma dengan mengadakan sesi latihan dan perlawanan persahabatan dan menyertai pertandingan.

“Beberapa negara yang menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-32 di Bangkok sekarang turut berlatih di sana. Antara negara itu adalah India yang menolak undangan bermain dalam sebuah liga anjuran PSM baru-baru ini,” katanya.