Lima belas pemain yang disenaraikan ketika tarikh tutup pendaftaran kepada penganjur 30 Jun lalu, turut melebihkan apit kanan atau perejam iaitu tujuh orang berbanding empat masing-masing bagi tekong dan apit kiri atau pengumpan.



Mereka ialah Azlan Alias, Afifuddin Razali, Norhaffizi Razak, Hanafiah Dolah, Noraizat Nordin, Kamal Ishak dan Hafizul Hayazi Adnan yang semuanya merupakan muka baharu bagi temasya empat tahun sekali ini, dari 18 Ogos hingga 2 September ini.



Ketua pasukan, Syahir Rosdi seperti diduga memimpin barisan tekong selain Zulkifli Razak, Said Ezwan Said De dan Hairul Hazizi Haidzir manakala pengumpan menampilkan Farhan Adam, Syazreenqamar Salehan, Zuleffendi Sumari dan Aidil Aiman Azwawi.



Hanya Syahir, Syazreenqamar dan Zuleffendi yang dikekalkan daripada skuad pemenang dua pingat gangsa Sukan Asia Incheon 2014 - pencapaian terburuk negara sejak sepak takraw dipertandingkan pada 1990 di Beijing.



Kali terakhir Malaysia meraih emas ialah di Hiroshima 1994 (hanya antara regu dipertandingkan berbanding dua emas milik kita di Beijing).



Kecuali tuan rumah, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) mengehadkan hanya dua daripada empat acara kategori lelaki yang boleh disertai negara-negara lain dengan bakinya ialah beregu berpasukan dan kuadran (empat lawan empat).



Malaysia turut bertanding dalam kedua-dua acara kategori wanita yang dipertandingkan iaitu regu berpasukan dan kuadran yang tidak mengehadkan penyertaan kepada semua negara.



Bagi temasya ke-18 ini, Thailand dijangka turut menyertai regu berpasukan di samping beregu berpasukan yang akan berlangsung di Stadium Ranau, Kompleks Sukan Jaka Baring, Palembang, sekali gus menguntumkan sedikit peluang pingat emas kita dalam antara regu.

Namun hanya majlis undian rasmi bagi sukan berpasukan Sukan Asia Indonesia yang dijadualkan esok, dapat menentukannya.