Benarlah kata pujangga, sejarah boleh berulang tetapi terserah kepada kita untuk menjadikannya seperti guru dalam mendewasakan diri.

Penarikan balik kebenaran penganjuran pada saat-saat akhir dan ugutan tindakan tatatertib oleh PSM ke atas peserta Kejohanan Sepak Takraw Utusan 2017 baru-baru ini boleh dianggap sebagai ‘penyakit’ yang diwarisi daripada pucuk pimpinan lama persatuan itu.

Bekas Pengarang Sukan Utusan, Mustakim Aminuddin (gambar) berkata: “Ketika akhbar ini be­kerjasama dengan MAS (ketika itu Sistem Penerbangan Malaysia) menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia yang pertama pada 1985, senario hampir sama terjadi.

“Seorang pegawai kanan PSM ketika itu sampaikan pernah mengugut mahu membuat laporan polis supaya kejohanan itu dibatalkan, malah mengenakan bermacam syarat untuk dipatuhi penganjur, antaranya ber­kaitan bola rasmi.

“Namun kami tetap teruskan juga sehingga kejohanan itu mendapat sambutan hangat apabila Stadium Negara dibanjiri ribuan peminat pada tahun itu dan beberapa edisi berikutnya selain disiarkan secara langsung oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia).

“PSM akhir­nya akur dan datang kepada kami untuk menawarkan bantuan teknikal dengan bayaran mereka malah hingga satu tahap itu kami secara sukarela memberikan sagu hati RM70,000 kepada PSM selepas menolak semua kos penganjuran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mustakim me­rupakan ahli Jawatankuasa Pengelola merangkap Pengerusi Bahagian Penerangan dan Seranta Kejohanan Sepak Takraw MAS-Utusan Malaysia yang kemudiannya menjadi Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM.

Beliau mengulas kesediaan Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran untuk mencabar Datuk Seri Ahmad Ismail sebagai Presiden PSM apabila persatuan itu melakukan pemilihan barisan pemimpinnya.

Penggal untuk barisan pe­mimpin PSM ketika ini berada di kerusi masing-masing bagi tempoh 2014-2017 telah berakhir 13 September lalu tetapi perlembagaan persatuan berkenaan memperuntukkan pemilihan boleh diadakan dalam tempoh 18 selepas tarikh itu.

“Membaca berita dalam akhbar ini mengenai tindakan PSM se­karang terhadap Ke­johanan Sepak Takraw Utusan 2017, saya berasa sedih mengapa persatuan ini masih terikut-ikut cara zaman itu. Sikap buruk mereka itulah yang menyebabkan penganjur serik lalu Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM hanya bertahan hingga 1993 sahaja.

“Perlu diingatkan bahawa Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) wujud pun (1992) kerana Kejohanan Sepak Takraw Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM yang disertai regu Thailand, Singapura dan Indonesia bahkan Korea Selatan, China, Jepun mahupun Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.