Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, pemilihan awal akan diadakan pada 8 dan 9 Januari termasuk pemilihan awal jawatankuasa terlibat.

Bagaimanapun, senarai penuh kontinjen negara ke temasya itu hanya akan diketahui pada awal Mac tahun hadapan iaitu sebulan sebelum ia berlangsung.

“Januari ini MOM akan mengadakan mesyuarat dan pemilihan jawatankuasa pertama bersama persatuan-persatuan sukan terlibat ke Sukan Komanwel.

“Tarikh akhir penyenaraian nama atlet adalah pada awal Mac, kira-kira sebulan sebelum temasya berlangsung (pada 4-15 April),” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif MOM di Wisma MOM, di sini hari ini.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How sebelum ini dilantik selaku ketua kontinjen negara ke Gold Coast dengan sasaran untuk berada dalam kelompok sepuluh negara terbaik.

Dalam Sukan Komanwel Glasgow 2014, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-12 selepas meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Dalam perkembangan lain, Tun­ku Imran memberitahu, Perhimpunan Agung Tahunan badan induk sukan negara itu akan berlangsung pada Jun tahun hadapan dengan pemilihan ke­pimpinan baharu akan diadakan.

Katanya, dalam pemilihan itu juga berkemungkinan akan berlaku perubahan dari segi perlembagaan MOM.