Beliau menegaskan, semua atlet yang berada dalam program itu dilayan dengan sebaik-baik­nya untuk dipersiapkan menjadi antara atlet terbaik dunia.

Baru-baru ini terdapat dakwaan oleh kalangan atlet me­nembak yang digugurkan daripada Program Podium bahawa mereka tidak diberikan bantuan secukupnya dalam program latihan, termasuk kekurangan peluru untuk berlatih dan kurang dihantar menyertai kejohanan sehingga menjejaskan prestasi.

Dr. Mohd. Khairi berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Program Podium itu sewajarnya disertakan dengan bukti, bukan hanya menerusi dakwaan yang tidak berasas.

Katanya, pihaknya sentiasa bersikap telus dalam menyelia Program Podium malah sentiasa memantau segala perjalanan program melibatkan sukan-sukan terlibat.

“Dalam Program Podium semuanya melibatkan sistem bermakna semuanya direkod dalam data kami, jika ada tuduhan sedemikian maka harus dikemukakan dengan bukti sekali.

“Perlu diingat bahawa Program Podium hanya untuk atlet terbaik dan jika ada yang tidak disenarai maka mereka perlu berusaha untuk memasukinya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Podium Performance Lifestyle di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Program Podium, Tim Newenham memaklumkan bahawa penilaian seseorang atlet untuk disenarai dalam program tersebut adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dan atlet yang tidak mencapai tahap diinginkan terpaksa digugurkan.

“Ini adalah program yang pintunya sentiasa terbuka untuk atlet yang digugurkan kembali disenaraikan andai dapat mempamerkan prestasi di tahap terbaik,” katanya.