Selain gagal dalam Sukan Asia, kontinjen negara juga terkeluar daripada kelompok 10 terbaik pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April lalu.

“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan memanggilnya untuk memberi penjelasan.

“ISN (Institut Sukan Negara) dan MSN (Majlis Sukan Negara) juga akan duduk bersama. Kita akan lihat apa yang perlu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar pasca Sukan Asia 2018 di Menara KBS, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai status Program Podium, Syed Saddiq berkata, mereka akan mendapatkan laporan penuh post-mortem Sukan Asia sebelum membuat keputusan.

Katanya lagi, perbincangan terperinci juga akan dijalankan dengan pihak-pihak yang terlibat untuk menentukan masa depan Program Podium termasuk atlet, jurulatih, persatuan sukan serta pengurusan.

“Untuk menyimpulkan sekarang adalah tidak adil, mesti mempunyai banyak perbincangan dan mendapat input dari pihak berkepentingan.

“Sekiranya kita memerlukan penambahbaikan atau pembaharuan utama, kita perlu menilai semua cadangan, perlu mendapat input dari pihak yang terlibat.

“Saya telah memaklumkan kepada MSN dan ISN bahawa perlu ada perbaikan utama struktur pengurusan, sistem peruntukan, ganjaran dan struktur hukuman supaya kita dapat memastikan kesilapan dapat dielakkan dan kejayaan yang dicapai dapat diteruskan,” katanya lagi.

Malaysia menutup kempen Sukan Asia di Jakarta-Palembang, Ahad lalu di tangga ke-14 dengan tujuh pingat emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Pada Sukan Komanwel, kontinjen negara pulang bersama tujuh emas, lima perak dan 11 gangsa untuk berada di tangga ke-12.

Kata Syed Saddiq lagi, sukan yang diletak sebagai sasaran tetapi pulang tanpa pingat akan dianggap sebagai gagal.

Katanya, sukan tersebut adalah silat, yang menyasarkan tiga emas tetapi gagal memenuhinya, diikuti karate yang hanya meraih satu gangsa, manakala wusyu serta badminton pulang dengan tangan kosong. - BERNAMA